Wednesday, March 19, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Red Devils sedia ikat Varane

    LONDON, 27 JULAI – Manchester United telah menyetujui perjanjian untuk menandatangani pemain pertahanan Perancis, Raphael Varane (gambar) dari Real Madrid, menurut beberapa laporan media Britain.

    Varane telah menjadi sasaran untuk United, yang minggu lalu menyelesaikan perpindahan pemain sayap England, Jadon Sancho dari kelab Jerman, Borussia Dortmund dengan harga AS$100 juta.

    Pasukan Ole Gunnar Solskjaer kini menghampiri penandatanganan pemain pertahanan tengah Real, Varane, setelah menyetujui perjanjian bernilai £34 juta yang dilaporkan meningkat menjadi £42 juta dengan nilai tambahan.

    Varane, 28, pemenang Piala Dunia 2018, mempunyai baki satu musim dalam kontraknya di Bernabeu.

    Dia berpindah dari kelab Perancis, Lens ke Madrid pada tahun 2011 dan sejak itu telah membuat 360 penampilan di semua pertandingan untuk Real, memenangi 18 trofi utama termasuk empat gelaran Liga Juara-Juara.

    Sekiranya perpindahannya ke Old Trafford selesai, Varane akan mendapati dirinya bersaing untuk mendapatkan tempat di posisi pertahanan United bersama kapten kelab, Harry Maguire, Eric Bailly dan Victor Lindelof.

    United menduduki tempat kedua dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu tetapi 12 mata di belakang juara Manchester City.

    The Red Devils belum memenangi trofi besar sejak Liga Europa 2017, dengan kejayaan terakhir gelaran EPL muncul pada musim terakhir pengurus terkenal Alex Ferguson sebelum bersara lapan tahun lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda