LONDON, 1 SEPT – Liverpool mengekalkan permulaan sempurna mereka dalam saingan Liga Perdana dengan kemenangan 3-0 di Burnley untuk merampas kedudukan teratas liga daripada Manchester City, yang membelasah Brighton dalam perlawanan lebih awal.
Tetapi Manchester United dan Chelsea semakin tercicir dengan para pendahulu selepas mengalami keputusan seri yang mengecewakan menentang Southampton dan Sheffield United.
Liverpool kini memenangi rekod 13 kemenangan berturut-turut dalam Liga Perdana sejak musim lepas ketika mereka terlepas gelaran kepada City meskipun merekodkan 97 mata.
Satu lagi perebutan gelaran antara kedua-duanya kelihatannya akan berterusan musim ini apabila Liverpool berjaya mengekang serangan awal Burnley sebelum meledakkan dua gol dalam separuh masa pertama.
Firmino menambah jaringan ketiga Liverpool ketika perlawanan berbaki 10 minit.
Sementara itu kemenangan 4-0 City dicemari dengan kecederaan pemain pertahanan tengah Aymeric Laporte, yang diusung keluar selepas mengalami kecederaan lutut, di mana dia mungkin diketepikan buat masa yang lama.
“Dia sudah dikejarkan ke hospital. Esok kita akan tahu keadaannya. Saya fikir dia akan direhatkan buat seketika,” kata pengurus City, Pep Giardiola mengenai kecederaan Laporte.
Kevin De Bruyne membuka jaringan hanya selepas dua minit di Etihad, sebelum Sergio Aguero menjadikan kedudukan lebih selesa sebelum rehat.
Penyerang Argentina itu menghasilkan satu lagi penyudah menarik bagi jaringan kedua ketika perlawanan memasuki 10 minit separuh masa kedua sebelum Bernardo Silva melengkapkan kemenangan. – AFP