LONDON, 29 Nov – Pengendali Liverpool Jurgen Klopp berkata pasukannya kelihatan seperti ‘tukang sembelih’ berdasarkan reaksi pemain-pemain Paris Saint-Germain (PSG) ketika kemenangan 2-1 juara Perancis itu dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
“Sedikit rintangan yang perlu kami harungi ialah 500,000 gangguan daripada penonton di babak kedua dan pengadil masih merasakan dia melakukan tugasnya dengan betul,” kata pengendali dari Jerman itu.
“Kami salah satu pasukan paling bersih di England tetapi malam ini kami kelihatan seperti tukang sembelih.”
Juan Bernat dan Neymar meletakkan PSG di depan pada babak pertama, tetapi penalti James Milner memastikan permainan kekal seimbang sehingga wisel penamat.
Liverpool perlu menang ke atas pendahulu Kumpulan C, Napoli dengan jurang dua gol atau 1-0 di Anfield pada perlawanan terakhir dua minggu lagi untuk layak ke pusingan kalah mati. “Permulaan seperti yang kami jangkakan, ia sangat liar dan sengit dan mereka mengambil risiko,” kata Klopp kepada BT Sport.
“Mereka mencetak dua jaringan dengan memenangi bola. Kami masih berada dalam perlawanan, namun apabila kami mendapatkan sedikit kawalan, anda mengetahui perlawanan belum berakhir.”
Sementara itu, Kapten Reds, Jordan Henderson berkata impian Liverpool untuk mara ke peringkat seterusnya kini di tangan mereka.
“Kami kecewa kerana kami fikir kami cukup baik untuk datang ke sini dan menang,” kata Henderson. – AFP