Reds gempur Porto

PORTO, 18 April – Liverpool menempah persaingan genting separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona awal pagi tadi selepas tiga jentera serangannya masing-masing menjaringkan gol dalam kemenangan 4-1 di FC Porto, menyaksikan mereka mara ke saingan empat pasukan terakhir dengan kemenangan agregat 6-1.

Di Estadio do Dragao, Liverpool terpaksa mengekang serangan awal sebelum menjaringkan gol dalam percubaan pertama hanya sebelum perlawanan memasuki setengah jam, gol menerusi Sadio Mane namun perlu menunggu lama bagi penilaian semula VAR.

Memang sudah menguasai pertembungan selepas kemenangan 2-0 di Anfield dalam perlawanan pertama minggu lepas, Liverpool dengan berkesan mendominasi Porto, di mana Mohamed Salah, pemain gantian Roberto Firmino dan Virgil van Dijk menambah lebih banyak gol selepas rehat.

Eder Militao menjaringkan gol sagu hati buat tuan rumah 21 minit sebelum perlawanan berakhir, tetapi ia merupakan satu lagi malam malang buat mereka selepas ditewaskan 5-0 oleh lawan yang sama setahun yang lalu.

Liverpool kini mara bagi pertembungan genting menentang Barca pimpinan Lionel Messi, pertemuan pertama kedua-dua kelab sejak pertembungan pusingan 16 terbaik pada tahun 2006/07, yang menyaksikan Liverpool menang menerusi jaringan di laman lawan.

Impian kejuaraan berganda, Liga Juara-Juara dan Liga Perdana, masih hidup buat Liverpool dan penyokong mereka, yang menyaksikan semangat mereka tidak pudar meskipun keadaan cuaca suram.

Ini merupakan perlawanan ke-17 tanpa kalah dan kemenangan kelapan berturut-turut Reds, meskipun Barcelona pastinya menawarkan ujian lebih sukar berbanding Porto.

Aksi pertama dijadualkan dalam tempoh dua minggu lagi, dan sementara itu Liverpool akan mengalihkan tumpuan mereka pada liga domestik, dengan beberapa perlawanan penting menentang Cardiff City dan Huddersfield Town. – AFP

Sadio Mane (kiri) dicabar oleh penjaga gol Porto, Iker Casillas pada aksi kedua suku akhir Liga Juara-Juara di Stadium Dragao. – AFP