LONDON, 14 Mei – Pemain pertahanan Liverpool, Andy Robertson memberi amaran kepada Manchester City bahawa pasukan kendalian Jurgen Klopp berazam untuk tetap bersama sehingga mereka memenangi Liga Perdana.
City mengatasi Liverpool bagi gelaran liga pada hari terakhir musim dengan kemenangan 4-1 di Brighton, yang membuat kemenangan Reds menentang Wolves sia-sia.
Liverpool menamatkan liga dengan hanya satu mata di belakang City, tetapi moral dalam kalangan pemain Klopp masih tinggi kerana mereka kini membuat persiapan bagi final Liga Juara-Juara menentang Tottenham pada 2 Jun.
Dan kapten Scotland, Robertson, yakin pemain-pemain utama Liverpool akan kekal di Anfield buat tempoh yang lama, menjadikan mereka dalam kedudukan yang sempurna untuk memperbaharui persaingan mereka dengan City.
“Kami adalah pasukan yang rapat, kumpulan muda, jadi kami berharap akan berada di sini selama beberapa tahun dan akan menjadi pasukan yang lebih baik dari segi kematangan dan pengalaman tahun depan,” kata Robertson.
“Ia adalah pasukan yang luar biasa dan saya suka menjadi sebahagian daripadanya. Saya pasti kami mempelajari banyak perkara musim ini, dan kami hanya perlu membawanya ke satu peringkat lagi.
“Berdoalah kami tidak kehilangan sesiapa. Kami adalah pasukan yang rapat dan kami tidak mahu kehilangan sesiapa. Kami akan cuba memasuki musim dengan lebih kuat.”
Dengan dua penampilan berturut-turut di final Liga Juara-Juara, rakan sepasukan Robertson, Virgil Van Dijk merasakan musim ini adalah permulaan bagi sesuatu yang istimewa di Anfield. Van Dijk juga menyatakan bahawa semangat dalam pasukan dan hubungan para pemain dan penyokong sebagai kunci kejayaan.
“Dengan tahap yang kami sudah tunjukkan musim ini, konsistensi yang kami ada, kami perlu meneruskannya dan melakukannya sekali lagi musim depan,” kata Van Dijk. – AFP
