LEICESTER, 28 Feb – Jamie Vardy menjaringkan dua gol ketika Leicester City yang kembali bersemangat memulakan hidup tanpa Claudio Ranieri dengan menewaskan Liverpool 3-1 awal pagi tadi, bagi mencetuskan harapan ‘survival’ dalam Liga Perdana.
Ranieri, 65, telah dipecat minggu lepas, sembilan bulan selepas membawa The Foxes kepada kejuaraan Liga Perdana, dan para penykong memberikan penghormatan dengan beberapa kain rentang, topeng serta kilauan telefon pintar di minit ke-65.
Malah Danny Drinkwater juga menemui sasaran apabila mereka mengakhiri lima kekalahan berturut-turut untuk keluar dari zon penyingkiran ke tangga ke-15.
“Apa yang saya mahukan adalah pasukan mengingati semula diri dan identiti mereka,” kata pengurus sementara Leicester, Craig Shakespeare.
Kedua Vardy dan Drinkwater berkata persembahan The Foxes itu adalah tindak balas ke atas beberapa laporan yang menyatakan para pemain terbabit dalam menyingkirkan Ranieri.

Jaringan pembukaan Vardy di separuh masa pertama merupakan jaringan liga pertama Leicester dalam tujuh perlawanan dan menjadikan mereka pasukan terakhir dalam lima liga utama Eropah untuk menjaringkan gol dalam tahun 2017.
Sementara persembahan itu memberikan penyokong Leicester harapan untuk bangkit di bawah kendalian Shakespeare, ia masih meninggalkan persoalan yang belum terjawab kenapa semuanya tidak berjalan dengan betul di bawah Ranieri.
Liverpool mungkin melonjak ke tangga ketiga dengan kemenangan, tetapi sebaliknya mereka kekal di tangga kelima, 14 mata di belakang pendahulu Chelsea, dan satu mata di belakang Arsenal yang menduduki tangga keempat serta mempunyai kelebihan satu perlawanan.
Pasukan Jurgen Klopp hanya menang sekali dalam tujuh perlawanan terakhir liga mereka dan kelihatan menjadi bayang-bayang kepada pasukan yang kelihatan memberikan cabaran kejuaraan beberapa minggu lalu.
“Kami membiarkan mereka menjadi Leicester tahun lepas, itu kesilapan kami,” kata Klopp. “Kami perlu dikritik. Tidak konsisten ini tidak masuk akal.”
Jaringan pembukaan terhasil apabila Marc Albrigton membuat hantaran menemui Vardy yang berjaya melepasi kawalan Joel Matip dan menewaskan Mignolet bagi jaringan pertamanya dalam lapan perlawanan liga.
Stadium King Power terus bergegar dan penyokong tuan rumah sekali lagi berdiri di minit ke-39 apabila Drinkwater melakukan voli menakjubkan yang menerjah ke sudut bawah gawang Liverpool.
Vardy kemudian menjadikan jaringan 3-0 di separuh masa kedua, melompat mengatasi Emre Can untuk gol keduanya.
Pada minit ke-69, Coutinho mengurangkan defisit Liverpool dengan menerima hantaran Can bagi mendapatkan gol sagu hati pasukannya. – AFP