LIVERPOOL, 2 Nov – Dua gol Mohamed Salah di separuh masa kedua, Emre Can dan Daniel Sturridge membawa Liverpool mendekati peringkat kalah mati Liga Juara-Juara selepas juara lima kali Eropah itu menewaskan Maribor 3-0 awal pagi tadi.
Liverpool telah membelasah Maribor 7-0 dalam perlawanan pertama dua minggu lepas, tetapi terpaksa berpuas hati dengan tiga gol di Anfield kerana juara Slovenia itu menguatkan pertahanan mereka.
Kemenangan itu, ditambah dengan kemenangan 2-1 Sevilla ke atas Spartak Moscow, meletakkan Liverpool satu mata di puncak Kumpulan E, mengekalkan harapan mereka bagi penampilan pertama dalam peringkat kalah mati sejak 2008-09.
Klopp, yang juga menyaksikan James Milner terlepas sepakan penalti, membawa pasukannya ke Sevilla bagi perlawanan seterusnya hujung bulan ini sebelum mengakhiri peringkat kumpulan di laman sendiri menentang Spartak awal bulan Disember.
Rancangan Klopp untuk merehatkan Jordan Henderson terpaksa dibatalkan pada minit ke-17 selepas pemain tengah Belanda, Georginio Wijnaldum tergeliat buku lali kanannya, yang menyebabkan kapten Reds itu terpaksa diturunkan.
Dengan Maribor menggunakan formasi 5-4-1 yang lebih kepada bertahan, Liverpool bergelut untuk mencipta beberapa peluang di separuh masa pertama.
Salah memberikan senyuman kepada pasukan tuan rumah empat minit pertama separuh masa kedua, yang menyaksikan dia menyudahkan hantaran lintang Alexander Arnold untuk menewaskan Jasmin Handanovic dengan satu voli.
Pemain sayap Mesir itu sudah menjaringkan 10 gol bersama Liverpool sejak perpindahannya dari Roma.
Milner mensia-siakan peluang untuk menggandakan pendahuluan Liverpool beberapa minit kemudian apabila penaltinya diselamatkan oleh Handanovic selepas Firmino dikasari oleh Rajcevic.
Pada minit ke-64, Can menjadikan kedudukan 2-0, membuat gerakan baik dengan Milner sebelum dengan tenang membuat penyudah ke sudut bawah gawang.
Pemain gantian Sturridge melengkapkan jaringan di saat-saat akhir, menyudahkan hantaran lintang daripada Alberto Morena bagi gol Liga Juara-Juara pertamanya untuk Liverpool. – AFP