Redza Rosli cedera tulang belakang

KUALA LUMPUR – Pelakon Redza Rosli mengalami kecederaan pada tulang belakang apabila terjatuh ketika menjalani penggambaran drama Cikgu Dina Pakai Prada di sebuah sekolah, baru-baru ini.

Redza atau nama sebenarnya Ahmad Redza Rosli, 24, pada mulanya menganggap sakit yang dialaminya itu hanya sementara, namun bergegas mendapatkan rawatan lanjut apabila ia berlarutan hampir seminggu.

“Saya sudah mendapatkan rawatan dan dinasihatkan supaya berehat di hospital untuk pemeriksaan lanjut. Saya minta untuk ditahan kerana mempunyai beberapa urusan penting yang perlu diselesaikan,” katanya.

Redza bagaimanapun, tidak memandang ringan masalah yang dialaminya itu, malah akan sentiasa melakukan pemeriksaan tahap kesihatan untuk memastikan ia tidak menjejaskan aktiviti hariannya.

Beralih mengenai perkembangan kerjaya seni, Redza mengakui, tahun 2016 membawa perubahan besar dalam karier lakonannya apabila sering mendapat kepercayaan penerbit memainkan watak utama.

Redza Rosli mengalami kecederaan pada tulang belakang.
Redza Rosli mengalami kecederaan pada tulang belakang.

Redza juga bersyukur kerana tidak lagi disogok watak klise, sebaliknya kebanyakan tawaran memberinya ruang untuk mengasah bakat menjadi pelakon yang lebih baik.

“Alhamdulillah, kerjaya seni saya berkembang dengan baik pada tahun ini. Saya juga berpeluang mencuba pelbagai watak dan berharap tahun baru nanti akan membuka ruang yang lebih besar.

“Saya ingin mempelbagaikan watak, malah sedia mencuba jika ditawarkan beraksi dalam karya epik. Itu antara impian besar saya sempena tahun baru,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Redza bakal memulakan penggambaran drama Dosa Seorang Perempuan bergandingan dengan Mira Filzah dan Nad Zainal pada bulan depan.