Pelakon, Redza Rosli menegaskan berita yang mendakwa isterinya, Bella Hanna hamil adalah palsu.
Menurut Harian Metro, Redza atau nama sebenarnya Ahmad Redza Rosli, 33, berkata, jika benar isterinya hamil, dia tidak akan menyembunyikan berita gembira daripada khalayak.
“Itu semua berita palsu. Memang saya ada nampak berita ini tersebar tapi tidak benar.
“Saya hanya mampu mengaminkan doa mereka dan kami nak zuriat.
“Saya akan kongsikan kalau betul isteri sedang hamil. Cukuplah perkahwinan saya dirahsiakan sebelum ini, tahu-tahu dapat kad jemputan saja.

“Bagi saya apabila sudah sampai waktu yang tepat untuk dikongsi, saya akan beritahu kepada umum,” katanya.
Redza berkata demikian ketika ditemui pada sesi bersama media di lokasi penggambaran drama bersiri Dendam Seorang Madu di Shah Alam, di sini, hari ini.
Menurut Redza, dia dan Bella tidak pernah merancang untuk mempunyai anak, sebaliknya berserah kepada rezeki dan ketentuan Tuhan.
“Apa yang saya nampak keserasian antara saya dan isteri adalah masing-masing suka buat perkara yang spontan.
“Contohnya kalau kami nak pergi bercuti, kami tak suka nak merancang.
“Begitu juga dalam soal rezeki anak, kalau sudah ada rezeki Allah nak bagi saya tidak akan menolak. Terima saja apa rezeki yang baik,” katanya.
Redza bernikah dengan Bella yang juga pelakon pada 21 Jun tahun lalu. – Agensi