Hampir setahun mendirikan rumah tangga, pelakon Reen Rahim meluahkan rasa syukur dikurniakan seorang ibu mentua yang baik biarpun dia memiliki banyak kekurangan.
Reen atau Noreen Ashikin Abdul Rahim, 35, berkata, keluarga suami bukan sahaja menerima baik kehadirannya sebagai seorang pelakon tetapi menyantuni dia kerana dirinya yang sebenar, kongsi mStar.
“Aku jahat… Mungkin ada secebis kebaikan yang Allah terima dan bagi rezeki dapat mentua dan keluarga suami yang boleh terima aku seadanya.
“Bukan sebab aku adalah Reen Rahim tetapi memang nampak mereka menerima Noreen (nama sebenar) bukan Reen Rahim, Alhamdulillah,” katanya.
Reen berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram miliknya hari ini.
Menerusi perkongsian video berkenaan, Reen berkongsi momen dia dan keluarga suaminya termasuk ibu mentua melakukan aktiviti pendakian bukit di Rawang.
Pelakon filem Sue-On itu turut merakamkan detik lucu memaparkan keadaannya yang keletihan sewaktu mendaki bukit tersebut.
Malah Reen turut memuji daya ketahanan fizikal ibu mentuanya yang disifatkan sangat aktif melakukan aktiviti lasak biarpun sudah berusia. – Agensi