Pelakon Reen Rahim menegur tindakan segelintir anak yang mengecam dan memburukkan ibu bapa mereka atas alasan tidak menerima layanan sebaiknya.
Reen atau Noreen Ashikin Abdul Rahim, 36, sebaliknya menasihati golongan tersebut agar tidak berkecil hati dan teruskan berbakti terhadap orang tua mereka.
“Kenyataan saya tentang ibu bapa pilih bulu menarik puak-puak yang dianaktirikan untuk bergabung dan menyalahkan mak ayah pula.
“Ini khas untuk kamu yang berpuak-puak. Kalau awda dianaktirikan, jangan makan hati. Ambil masa, jaga hati awak sikit.
“Jangan bagi orang makan awak tetapi tanggungjawab sebagai anak untuk berbakti kepada ibu bapa jangan diabaikan,” katanya yang dikongsi mStar.
Reen berkongsi perkara itu menerusi hantaran video yang dimuat naik di Instagram kelmarin.
Ia susulan kenyataannya menegur sikap pilih bulu dalam kalangan ibu bapa dengan membeza-bezakan anak sendiri.
Kesal kenyataannya disalah tafsir, Reen menegaskan teguran diberikan khusus buat orang tua yang mengabaikan anak-anak.
“Teguran itu memang pedas dan aku memang nak bagi dekat mak ayah jenis pilih bulu ni. Kalau ada yang terasa padan muka mereka!” jelasnya.
Dalam pada itu, Reen sempat berpesan agar anak-anak tidak berhenti melakukan kebaikan kepada ibu bapa mereka tanpa mengharapkan balasan.
Jelasnya, cukup Allah yang menjadi saksi atas kebaikan yang dibuat. – Agensi