Sunday, February 9, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Refleksi nilai seni melalui keunikan busana

    SALEM – Sesetengah rekaan pakaian adakalanya ditampilkan dengan gaya yang sangat luar biasa sebagaimana yang sering digayakan oleh selebriti terkemuka seperti Lady Gaga ketika membuat persembahan di mana ianya cukup unik direka dengan berinspirasikan daripada sesuatu perkara yang menarik dan diperbuat daripada bahan yang terpilih.

    Justeru, pameran WOW – Dunia Seni Pakaian cuba untuk menampilkan beberapa rekaan busana-busana unik dan menarik di dunia telah diadakan di Muzium Peabody Essex di Salem.

    Sebanyak 32 pasang busana yang berjaya memenangi anugerah di pertandingan rekaan pakaian di New Zealand dipamerkan dalam pameran tersebut.

    Pertandingan telah diadakan sejak lebih kurang tiga dekad yang lalu, di mana penganjur telah membukakan penyertaan daripada pelbagai penggiat seni di peringkat antarabangsa seperti pembuat perahu, pengawet binatang, pereka amatur dan lain-lain bagi sama-sama menzahirkan rekaan busana bertema couture dan avant-garde yang sangat menarik serta jelas menampilkan nilai seni yang sangat berharga.

    “Persamaan yang dimiliki oleh setiap individu yang menyertai pameran ini adalah sifat kreativiti yang tinggi sehingga berjaya menzahirkan busana pakaian yang sangat menarik serta mempunyai nilai seni yang tersendiri,” jelas Kurator Penyelaras Pameran, Lynda Roscoe Hartigan.

    Salah satu rekaan menakjubkan turut dipamerkan di Pameran WOW – Dunia Seni Pakaian, di Muzium Peabody Essex.
    Salah satu rekaan menakjubkan turut dipamerkan di Pameran WOW – Dunia Seni Pakaian, di Muzium Peabody Essex.

    Setiap busana yang dihasilkan juga harus diuji melalui peragaan yang digayakan oleh barisan model di pentas peragaan bagi menilai kualiti dan keindahan sepasang busana tersebut apabila diperagakan.

    “Ciri utama yang dinilai dalam setiap busana ditampilkan dalam pameran ini adalah kualiti dan keindahannya ketika diperagakan,” jelas Roscoe Hartigan.

    Setentunya pelbagai pendapat diberikan oleh setiap penonton yang menyaksikan pameran tersebut.

    Salah satu rekaan yang menarik adalah Inkling yang dihasilkan oleh Gillian Saunders. Rekaan tersebut ditampilkan dengan perisai badan yang dilengkapi dengan tanduk, elemen corak naga di bahagian dada dan corak hati di bahagian pinggang di mana ia menggambarkan keadaan kulit tubuh yang seolah-olah dicemari oleh hiasan tatu di bahagian badan sehingga menepis keindahan tekstur kulit manusia yang asal.

    Beast in the Beauty hasil rekaan David Walker, seorang tukang kayu berasal dari Alaska pula menggambarkan ketabahan hati mendiang isterinya bertarung dengan kanser payudara.

    Rekaan tersebut menampilkan sepasang gaun yang diperbuat daripada kayu dilengkapi dengan helmet berwarna perang di mana ia melambangkan rawatan kemoterapi yang secara tidak langsung membuatkan rambut wanita itu luruh sekaligus menjadi botak.

    Inkling, hasil rekaan Gillian Saunders yang menggambarkan keadaan kulit tubuh yang dicemari oleh hiasan tatu di bahagian badan.
    Inkling, hasil rekaan Gillian Saunders yang menggambarkan keadaan kulit tubuh yang dicemari oleh hiasan tatu di bahagian badan.
    Rekaan busana menarik ‘Hermecea’ dihasilkan oleh Jan Kerr yang dipamerkan di pameran WOW – Dunia Seni Pakaian.
    Rekaan busana menarik ‘Hermecea’ dihasilkan oleh Jan Kerr yang dipamerkan di pameran WOW – Dunia Seni Pakaian.

    Mendiang isteri Walker turut menyumbang idea dalam bekerjasama untuk menzahirkan busana yang istimewa itu namun meninggal dunia sebelum sempat untuk menyelesaikannya.

    “Kerjasama dan refleksi yang ditampilkan dalam penghasilan setiap busana dalam pameran ini jelas menggambarkan keistimewaannya,” jelas Roscoe Hartigan.

    Carol Bolsvert, salah seorang pengunjung pameran dari Wilmington, Massachusetts menjelaskan bahawa beliau berasa sangat kagum dengan setiap rekaan busana yang ditampilkan dalam pameran ini.

    “Pada awalnya, ia memang sukar difahami namun setiap seni itu apabila diamati dengan lebih dekat setentunya kita boleh terpesona bukan sahaja pada penampilannya bahkan juga nilai seni yang berharga di sebaliknya,” jelas Bolsvert.

    Tracey Cahalene, salah seorang pengunjung berasal dari Salem, New Hampshire berasa sangat kagum dengan gabungan spektrum warna yang sangat menarik pada setiap busana yang ditampilkan.

    “Pilihan warna yang digunakan pada busana yang ditampilkan dalam pameran ini jelas sangat menakjubkan,” jelas Cahalane. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda