Oleh Sim Y. H. & Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Pendidikan merupakan platform bagi menjayakan Wawasan Brunei 2035 dan Kementerian Pendidikan memberikan perhatian yang tinggi kepada reformasi dalam pendidikan supaya dapat menyokong matlamat yang ditetapkan dalam wawasan negara.
Dalam pada itu, kelemahan sesetengah pelajar Tahun 7 dalam menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira) memang diakui dan Kementerian Pendidikan terus menggandakan usahanya untuk mengenal pasti kelemahan berkenaan serta mengatasinya menerusi pelaksanaan beberapa inisiatif termasuk guru-guru di peringkat rendah memberikan penumpuan kepada penguasaan 3M dalam kalangan murid-murid di Tahun 4, 5 dan 6.
Menerusi usaha itu, guru-guru berkenaan dapat membimbing murid-murid berkenaan supaya dapat meningkatkan lagi penguasaan 3M, jelas Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman ketika menjawab persoalan mengenai terdapat segelintir pelajar Tahun 7 yang didapati lemah dalam penguasaan 3M yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong selaku Penghulu Mukim Tanjong Maya dan wakil dari Daerah Tutong (Zon I).
Salah satu usaha yang dilaksanakan lagi oleh Kementerian Pendidikan adalah untuk mendatangkan jurulatih antarabangsa (international coaches) untuk membimbing guru-guru tempatan dalam meningkatkan kemahiran pengajaran literasi dan numerasi, tambah Yang Berhormat Pehin semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.
Beliau berkata bahawa jurulatih antarabangsa seramai 60 orang itu, pada masa ini, sudah ditempatkan di sekolah-sekolah di seluruh negara di mana mereka berperanan untuk membimbing guru-guru tempatan supaya lebih mahir dalam pengajaran literasi dan numerasi.
Sementara itu, Yang Berhormat Ong Tiong Oh mengemukakan cadangan bagi Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan supaya permohonan pengecualian cukai pintu tahunan dapat diberikan.
Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa cukai pintu tahunan yang dikenakan pada sekolah berkenaan bukannya di bawah bidang Kementerian Pendidikan, namun pihaknya akan menyampaikan cadangan dan perkara itu kepada pihak yang berkenaan.