Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani dan Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Regata Brunei Darussalam hari ini kembali mengocakkan dan menggegarkan serta memeriahkan lagi Sungai Brunei dengan perlumbaan perahu tradisi tahunan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-73, dengan ribuan pengunjung dalam dan luar negara tidak melepaskan peluang menyaksikannya.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke acara tahunan itu.
Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.
Keberangkatan Baginda dan kerabat diraja dijunjung oleh Penasihat-penasihat Bersama Regata Brunei Darussalam; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut berkenan dijunjung oleh penasihat-penasihat bersama Regata Brunei Darussalam 2019 bagi menyertai Lumba Perahu Fiberglass Acara Khas 15 Pekayuh sebelum dijunjung ke pentas diraja bagi menyaksikan Lumba Perahu Fiberglass Belia-belia 30 Tahun ke Bawah 20 Pekayuh, Lumba Perahu Fiberglass antara Institusi dan Pengajian Tinggi 15 Pekayuh, Lumba Perahu Fiberglass Maktab-maktab dan Sekolah-sekolah Menengah 15 Pekayuh dan Lumba Perahu Fiberglass Belia-belia Terbuka 20 Pekayuh.













Selain itu, Baginda Sultan turut berkenan melepaskan peserta Lumba Perahu Tradisi Maraton 30 Pekayuh sejauh 5km dari hujung Pulau Si Bongor di perairan Sungai Brunei yang merupakan lumba perahu yang terakhir bagi Regata Brunei Darussalam kali ini.
Sejurus selepas itu, Baginda Sultan berserta kerabat diraja dijunjung oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk menyaksikan pameran-pameran di Galeri Seni Dermaga Diraja.
Baginda Sultan serta kerabat diraja kemudiannya berkenan kembali ke pentas diraja bagi pengurniaan hadiah kepada pemenang perlumbaan Lumba Perahu Fiberglass Acara Khas 15 Pekayuh, yang mana juaranya adalah Pasukan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.
Pasukan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir mendapat tempat kedua diikuti dengan Pasukan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota di tempat ketiga; Pasukan Orang-orang Bergelar mendapat tempat keempat dan Pasukan Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua Kampung di tempat kelima.
Lumba Perahu Tradisi Maraton 30 Pekayuh pula dijuarai oleh Pasukan Laksamana Sinampuan, dari Lawas Sarawak. Tempat kedua menjadi milik Pasukan Lela Cheteria A dan Pasukan MS ABDB berada di tempat ketiga.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja kemudiannya berkenan mene-rima junjung ziarah daripada ahli-ahli jawatankuasa tertinggi sambutan dan jemputan khas sebelum meninggalkan majlis.
Terdahulu, pada acara di sebelah pagi, berkenan berangkat menyaksikan re-gata ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota kemudiannya dijunjung oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri bagi melepaskan acara Lumba Perahu Tradisi 25 Pekayuh antara kementerian sebelum dijunjung kembali ke pentas diraja bagi menyaksikan Lumba Perahu Fiberglass 20 Pekayuh antara Syarikat Swasta dan Lumba Perahu Tradisi Terbuka 30 Pekayuh.
Sebelum berangkat balik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota juga berkenan untuk mengurniakan hadiah-hadiah kepada pemenang perlumbaan lumba perahu bagi sesi pagi.
Sebelum berakhirnya acara pada sebelah petang, satu letupan gas berwarna-warni turut mewarnai acara di perairan Sungai Brunei menandakan berakhirnya Regata Brunei Darussalam 2019.
Regata Brunei Darussalam ini merupakan salah satu di antara siri rancangan acara bagi memberi nilai tambah kepada Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang ke-73 selain mempromosikan sukan lumba perahu kepada golongan belia dan generasi muda yang mana sukan ini telah menjadi satu sukan tradisi bagi negara ini.