DOHA, 15 DIS – Jurulatih Maghribi, Walid Regragui memuji usaha pasukannya selepas ‘kisah dongeng’ mereka ke separuh akhir Piala Dunia berakhir dengan kekalahan 2-0 kepada Perancis awal pagi kelmarin.
“Kami telah memberikan segala-galanya, itu yang paling penting. Mereka berjuang bermati-matian sehingga ke penghujung perlawanan,” kata Regragui, yang telah dijulang kerana berjaya membawa pasukannya menundukkan Sepanyol dan Portugal dalam dua pusingan terakhir.
“Kami mahu memenangi perlawanan ini, tetapi kami berdepan pasukan yang kuat yang tahu apa yang dilakukan mereka dan hanya menunggu untuk kami membuat kesilapan – yang telah kami lakukan pada awal permainan,” katanya, merujuk kepada gol pembukaan Theo Hernandez pada minit kelima.
Regragui terpaksa bergelut mencari pemain yang betul-betul cergas. Pemain pertahanan, Nayef Aguerd terpaksa dikeluarkan selepas sesi pemanas badan, yang digantikan dengan Achraf Dari.
Pemain pertahanan lain dan kapten, Romain Saiss, yang diragui tahap kecergasannya, juga terpaksa dikeluarkan selepas 21 minit beraksi.
“Kami telah kehilangan ramai pemain yang telah melakukan yang terbaik, (Noussair) Mazraoui tidak sihat namun dia bermain, begitu juga Saiss. Saya tak mahu bercakap apa-apa selepas para pemain telah menunjukkan prestasi maksimum mereka,” katanya. – AFP









