PENYAKIT Spondilitis Kejur atau Ankylosing Spondylitis (AS) boleh menyebabkan sakit di bawah bahagian belakang badan sehingga belakang kaki yang menyebabkan pesakitnya sukar untuk berjalan.
Berikutan itu, pesakit turut kemurungan dan marah akibat penyakit itu. Lebih teruk tulang rusuk sering menjadi kaku dan kadangkala sukar bernafas serta kerap kali tidak boleh tidur sehingga keletihan keesokan harinya.
AS adalah penyakit kronik yang menyebabkan radang ligamen antara tulang vertebra dan sambungan ligamen ke tulang.
Sekiranya tidak diperiksa, ia boleh menyebabkan tulang belakang menjadi keras dan tidak boleh dipulihkan.
Penyakit ini akan berkembang hingga menyebabkan seseorang itu semakin lama semakin membongkok dan akhirnya perlu menggunakan tongkat.

Kebanyakan pesakit dikenal pasti mengalami AS ketika usia bawah 30 tahun.
Tiga daripada 10 pesakit terpaksa berhenti kerja dan satu daripada empat pesakit berasakan keadaan itu sebagai penghalang mereka untuk mendirikan rumah tangga.
Antara tanda penyakit AS yang mustahak ialah sakit di bahagian pinggang atau tulang belakang. Namun, ia bukan seperti sakit pinggang biasa tetapi lebih sakit pada waktu pagi, selepas rehat dan kesakitan berasa lebih baik selepas kita melakukan aktiviti.
Selalunya, sakit pinggang biasa akan bertambah sakit apabila individu itu terlalu banyak bergerak atau melakukan aktiviti belebihan, namun ia berbeza dengan AS.
Sakit dalam kes AS berlaku selepas berehat dan akan menjadi lebih sakit jika tidak bergerak, namun dengan melakukan aktiviti dapat membantu mengurangkan kesakitan.
Pesakit boleh mengalami tahap ketidakselesaan yang berbeza iaitu daripada ketegangan ringan kepada tulang belakang yang bercantum akibat pertumbuhan tulang.
Sesetengah pesakit mungkin menunjukkan tanda demam, kelesuan, hilang selera makan dan radang mata (kemerahan dan sakit). Dalam kes yang jarang berlaku, ia boleh menyebabkan masalah paru-paru dan jantung.
Spondilitis kejur dialami terutama dalam kalangan pesakit muda yang berumur lewat remaja atau awal dewasa. Di samping itu, lebih ramai lelaki berbanding wanita yang mengalami masalah ini iaitu pada nisbah kira-kira 2:1.
Malah, spondilitis kejur ialah penyakit serius yang kurang diketahui oleh kebanyakan orang.
Ramai pesakit yang mengalami gejala pertama mereka pada usia sangat muda. Ada yang baru saja menamatkan pengajian universiti dan memulakan kerjaya.
Keadaan ini menyebabkan mereka sukar untuk menjalankan aktiviti harian dan bekerja kerana mungkin perlu kerap mengambil cuti untuk menguruskan penyakit mereka.
Kadangkala kesakitan yang dialami amat menyeksakan sehingga mereka tidak dapat tidur. Keadaan ini juga menjejaskan interaksi sosial pesakit dengan orang lain kerana ia mengehadkan pergerakan mereka.
Walaupun ubat biologi lebih berpatutan berbanding rawatan piawaian semasa, terdapat sebilangan besar pesakit yang tidak mampu mendapatkan rawatan.
Ini salah satu faktor yang menghalang pesakit daripada menerima rawatan sewajarnya pada peringkat awal.