Rehat minda, tekanan dengan memancing

Oleh Raz AS

Kehidupan kala ini sering disibukkan dengan pelbagai tugas harian. Sibuk dengan pekerjaan, persekolahan, malah orang-orang sekeliling.

Semakin kita ditelan dengan kesibukan semakin kurang efektif tugasan seharian kita.

Otak menjadi semakin tertekan, letih, fokus menjadi semakin berkurangan. Kadang-kadang perasaan pun semakin berkecamuk. Salah sedikit marah-marah. Silap sedikit menitis air mata. Hendak meluahkan apa yang terbuku di hati kepada orang lain takut digelar manja. Maklumlah bagi kebanyakan manusia, selagi belum terkena batang hidung sendiri orang yang mengalami tekanan sewenangnya sahaja dihukumkan sebagai ‘lemah’.

Mengalami tekanan atau stres atau kemurungan (depression) bukan perkara main-main. Ia sepatutnya diambil serius oleh setiap individu tidak kiralah oleh orang yang menghidapnya atau orang ramai dan orang-orang di sekeliling si penghidapnya. Jika ia perkara ringan, masakan pula kerajaan kita menyediakan perkhidmatan Talian Harapan 145 sebagai usaha untuk menghulurkan tangan bagi membantu mereka.

Bayangkan otak kita umpama satu bekas atau balang jernih yang berisi air, dan di dalamnya terdapat pasir-pasir tenggelam di bahagian dasarnya. Apabila bekas itu digoncangkan airnya bertukar keruh, pasir-pasir ‘berterbangan’ mengabutkan penglihatan. Begitulah juga dengan keadaan minda kita. Semakin ‘bergoncang’ atau sibuk otak kita dengan aktiviti-aktiviti rutin dan masalah seharian semakin ‘kabut’ dan kacaulah pemikiran kita.

Jika memancing bersama rakan karib atau ahli keluarga, kita juga boleh berbual-bual dengan lebih terbuka untuk meluahkan atau berbincang mengenai permasalahan yang merunsingkan kita. – Agensi
Aktiviti memancing bukan hanya untuk mendapatkan ikan semata-mata tetapi ianya boleh menjadi kegiatan masa lapang yang dapat menenangkan jiwa dan fikiran. – Agensi
Berada di kawasan yang dikelilingi flora dan fauna dapat memberi peluang untuk menghirup udara bersih dan segar. – Agensi

Oleh itu penting untuk kita berhenti sejenak daripada rutin harian. Berehat dan melakukan aktiviti yang boleh menenangkan fikiran. Dalam erti kata lain “biarkan pasir-pasir kembali tenggelam ke dasar agar air kembali jernih.”

Banyak aktiviti yang boleh dilakukan untuk menenangkan fikiran. Antaranya adalah dengan melakukan kegiatan fizikal atau riadah misalnya berkebun, bersiar-siar, mendaki bukit atau keluar memancing.

Aktiviti memancing sememangnya sejak dahulu lagi sudah dikaitkan sebagai aktiviti yang boleh menenangkan jiwa dan fikiran. Memancing bukan hanya untuk mendapatkan ikan. Kadang-kadang kita turun padang sekadar untuk mengisi masa lapang, bersuka-suka bersama keluarga atau rakan, atau untuk melapangkan fikiran serta menghilangkan stres setelah penat bekerja dan melayan kerenah bos di pejabat, guru-guru di sekolah atau mungkin sahaja masalah dalam hubungan.

Berada di dalam bilik atau bangunan berpenghawa dingin memang selesa. Mata ‘melekat’ ke skrin televisyen, komputer dan tablet menonton rancangan-rancangan Netflix memang mengasyikkan. Berjalan di atas ‘treadmill’ atau bersenam di gim memang menyihatkan badan. Duduk dalam kedai kopi bersama rakan-rakan ‘membawang’ memang seronok. Melihat foto-foto pemandangan indah melalui ‘posting’ media sosial memang menyejukkan mata.

Namun semuanya tidak sama dengan menghirup udara segar, merasa tiupan angin sepoi-sepoi bahasa, melihat keindahan alam semula jadi ciptaan tuhan, seakan jiwa raga kita menjadi satu.

Melahirkan perasaan tenang dan menerbitkan rasa rendah hati, tawaduk dan bersyukur kepada Yang Maha Pencipta kerana diberi peluang untuk menikmati dan menyaksikan bukti-bukti kebesaranNya dengan mata kepala kita sendiri.

Angin yang bertiup lembut menjamah tubuh badan bukan sahaja mendinginkan tubuh badan,bahkan bunyi deruan angin pada pepohon dan dedaunan di sekeliling yang terhasil umpama siulan merdu di telinga kita, bertambah lagi dengan bunyi kicauan burung-burung bak gubahan muzik karyawan agung menenangkan jiwa si pendengarnya bagaikan satu meditasi.

Begitu juga dengan bunyi air sungai yang mengalir, atau ombak laut yang memukul pantai dan tebing. Jika kita cari di laman YouTube memang ada terdapat banyak rakaman bunyi-bunyian alam semula jadi ini. Apakah istimewanya berbanding muzik-muzik dan lagu-lagu ciptaan manusia? Tiada lirik dan seni katanya, juga tiada bunyi alunan gitar, dram atau pianonya.

Namun ia ternyata begitu popular di kalangan orang-orang yang mencari ketenangan dan ingin lari daripada tekanan hidup, lihat sahaja jumlah ‘view’ dan ‘like’nya, perhatikan juga ruangan ‘comment’ di laman Youtube tersebut. Menurut pakar mendengar bunyi-bunyian alam semula jadi boleh menenangkan fikiran oleh itu bukankah lebih baik lagi jika kita mengalaminya sendiri dengan berada di luar berbanding mendengarkannya melalui gajet.

Ada pula yang berbelanja ribuan ringgit membeli alat air purifyer agar dapat menghirup udara bersih dan segar atas alasan untuk kesihatan. Bukankah lebih baik lagi berada di kawasan yang dikelilingi oleh flora, penapis udara alami yang dianugerahkan Ilahi kepada kita secara percuma. Setentunya ‘penapis udara’ ini dapat membekalkan udara bersih dan segar lebih banyak berbanding mesin kecil yang terletak di sudut rumah kita, setentunya juga faedahnya kepada kesihatan akan lebih berganda.

Kini kebanyakan daripada kita juga ketagih dengan internet tanpa mengira usia. Selang minit melihat skrin telefon. Selang minit melihat jika-jika ada teks masuk, memerhati atau membuat posting baharu di Instagram, Facebook, Twitter. Menurut ahli psikologi ini merupakan salah satu daripada gangguan mental atau lebih dikenali sebagai ‘internet addiction disorder’. Kehidupan kita lebih berada di alam maya berbanding di dunia nyata.

Mungkin kedengaran remeh, namun menurut pakar ia boleh membawa kesan-kesan negatif kepada kesihatan mental termasuk ketidakstabilan emosi dan kemurungan, serta boleh memberi kesan kepada hubungan kita dengan orang di sekeliling kita. Oleh itu amat penting juga untuk kita ‘berehat’ daripada menggunakan telefon bimbit dan internet atau melakukan ‘digital detox’.

Jika sebelum ini kebanyakan daripada kita hanya melihat pemandangan alam semula jadi yang indah, melihat binatang-binatang liar hanya melalui skrin telefon bimbit, dengan keluar memancing semuanya berada di depan mata kita sendiri. Contohnya jika memancing di pantai-pantai kalau bernasib baik dapat melihat ikan lumba-lumba dan penyu. Jika memancing di sungai berhampiran hutan bakau mungkin boleh melihat buaya dan bangkatan (proboscis monkey) yang sememangnya menjadi tarikan pelancong di negara ini. Satu pengalaman yang setentunya boleh membantu menghiburkan hati.

Selain itu dengan berada di luar dan menikmati suasana yang sunyi dan tenang semasa memancing, kita akan mempunyai lebih banyak masa menyelami fikiran sendiri. Dalam keadaan separuh sedar minda yang tenang boleh menghasilkan pelbagai idea dan buah fikiran untuk dicurahkan pada tugasan kerja, sekolah, perniagaan atau apa sahaja perancangan kita untuk masa hadapan.

Menumpukan konsentrasi penuh secara berterusan terhadap aktiviti memancing seperti sentiasa memerhati pancing kalau-kalau umpan dimakan ikan dan ketika melawan ikan untuk dinaikkan juga boleh membantu kita untuk melupakan hal-hal lain yang membebani kita.

Jika memancing bersama rakan karib atau ahli keluarga yang kita rapat, kita juga boleh berbual-bual dengan lebih terbuka untuk meluahkan atau berbincang mengenai permasalahan yang merunsingkan kita. Kalau selama ini kita pendamkan kerana takut atau malu andai ada pihak lain yang akan mendengar, ini boleh saja menjadi peluang yang baik tatkala kita hanya bersendirian bersama mereka jauh dari telinga-telinga lain.

Memancing bukanlah penyelesaian kepada semua masalah, namun ia boleh membantu anda menghilangkan tekanan yang dihadapi serta melapangkan fikiran. Oleh itu jika anda berasa tertekan dan ingin lari daripada rutin yang biasa anda lakukan mungkin anda boleh cuba menjadikan aktiviti memancing sebagai hobi baharu.