Oleh Yusrin Junaidi
TUTONG, 12 NOV – Seramai 50 peserta terdiri daripada para mualaf dan bukan Islam dari Daerah Tutong telah menyertai Program Bimbingan Umrah Untuk Mualaf yang diadakan di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, kelmarin.
Program yang bertemakan Rehlah Baitullah: Ilmu Sebelum Amal itu dianjurkan oleh Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Cawangan Dakwah Daerah Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Daerah Tutong, Yang Arif Haji Muhammad Bahrin bin Haji Alias.

Program itu antara lain bertujuan memberi pendedahan, kefahaman serta keyakinan kepada para peserta dalam mempersiapkan diri menunaikan ibadah umrah dengan sempurna, selaras dengan tuntutan syarak dan kemampuan masing-masing, di samping menyemarakkan lagi syiar Islam di negara ini.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis, Ketua Cawangan Dakwah Daerah Tutong, Dayang Zikrinaidah binti Haji Mat Dikir.
Program dibahagikan kepada dua sesi, iaitu sesi pagi yang menumpukan kepada Pengenalan Ibadah Umrah, Rukun dan Syarat Umrah, manakala sesi petang menampilkan Simulasi Lengkap Umrah yang melibatkan pemakaian ihram, niat, tawaf, saie dan tahallul.

Di majlis itu, Yang Arif Haji Muhammad Bahrin turut sama menyertai sesi simulasi berkenaan sebelum majlis diakhiri dengan Doa Penutup bagi memohon keberkatan.
Program berkenaan dihasratkan menjadi titik tolak bagi para peserta untuk lebih mendalami ilmu agama, memperkukuh keimanan, serta melaksanakan ibadah umrah dengan penuh keyakinan dan kesempurnaan.
Hadir sama di program itu, Pemangku Pengarah PDI, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman; Pemangku Pegawai Ugama Kanan PDI, Dayang Hajah Zunainah binti Haji Gunong; Penolong Ketua Pegawai Ugama, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong, Awang Hamdani bin Othman; serta Penghulu Mukim Pekan Tutong, Haji Salim bin Haji Othman.
Turut hadir para pegawai dan kakitangan dari PDI serta Cawangan Dakwah Daerah Tutong.
