PARIS, 26 SEPT – Paris Saint-Germain (PSG) tewas mengejut 2-0 kepada Reims di Parc des Princes awal pagi tadi, apabila tandukan gol menerusi Hassane Kamara dan Boulaye Dia memberikan kemenangan kepada pasukan pelawat.
Juara Ligue 1 itu, terjejas akibat kecederaan, masih kekal di persada selepas tujuh perlawanan tetapi sudah tewas dua kali musim ini setelah tewas di Rennes bulan lepas. Ia adalah kekalahan pertama PSG di laman sendiri dalam liga sejak tewas 2-0 di Rennes pada Mei 2018, menamatkan rentetan 22 perlawanan tanpa tewas di Parc.
PSG hanya mendahului pasukan di kedudukan kedua, Angers, menerusi kelebihan gol, selepas dua jaringan lewat Rachid Alioui memberikan skuad Stephane Moulin kemenangan 2-0 di Toulouse.
Neymar (gambar bawah), yang menjaringkan dua gol kemenangan dalam dua aksi Ligue 1 sebelum ini, diturunkan bersama Eric Maxim Choupo-Moting dan Pablo Sarabia di bahagian serangan, di mana Edinson Cavani, Kylian Mbappe dan Mauro Icardi masih cedera. Namun bintang Brazil itu bermain hambar dan kerap terlepas kawalan bola kepada Reims. – AFP