TOKYO, 1 April – Jepun pada hari ini mendedahkan nama era yang akan menentukan pemerintahan maharaja baharu apabila beliau menaiki Takhta Bunga Kekwa pada bulan depan berikutan penurunan takhta pertama dalam tempoh 200 tahun.
Nama empayar baharu itu terdiri daripada dua huruf: ‘Rei’, yang bermakna ‘perintah’ tetapi juga ‘bertuah’ dan ‘Wa’, biasanya diterjemah sebagai ‘keamanan’ atau ‘harmoni’. Selepas spekulasi dan perbincangan rahsia berminggu-minggu lamanya, kedua-dua huruf ‘kanji’ tersebut diumumkan untuk mendedahkan nama yang akan bertahan sepanjang tempoh pemerintahan maharaja baharu Naruhito.
Perdana Menteri Shinzo Abe berkata istilah ‘Reiwa’ datang daripada ‘Manyoshu’, antologi puisi Jepun yang wujud sejak 1,200 tahun lalu yang “melambangkan kebudayaan mendalam dan tradisi lama negara kami.
“Ibarat bunga plum yang berkembang sepenuhnya yang menandakan ketibaan musim bunga selepas musim sejuk, setiap individu warga Jepun boleh menaruh harapan pada masa depan dan membuat bunga mereka sendiri berkembang,” tambah perdana menteri.
“Ia adalah kali pertama ia datang daripada teks Jepun” dan bukannya Cina, jelas Abe, sering kali dianggap seorang nasionalis.
Orang ramai berkumpul di seluruh Jepun untuk menyaksikan pengumuman yang disiarkan secara langsung itu, ramai bersorak tatkala ketua setiausaha kabinet memegang papan dengan nama ditinta dan diolah dalam gaya kaligrafi hitam.
“Ia mempunyai bunyi yang cantik dan anda mempunyai perasaan yang senang apabila anda membacanya. Saya fikir ia adalah pilihan yang amat baik,” kata Shun Fujimoto, 24 tahun, ketika beliau bersama orang ramai yang berebut-rebut untuk mendapatkan edisi khas akhbar di stesen Shimbashi yang sibuk di Tokyo. – AFP
