DHAKA, 10 APRIL – Seorang imam dan tiga warga tua di Bangladesh ditahan atas tuduhan mengarahkan seorang wanita dirotan dan direjam selepas dia dituduh melakukan hubungan luar nikah, kata polis hari ini.
Polis berkata Hamida Sultana “dirotan 82 sebatan” dan “direjam 80 kali” dengan batu kecil selepas seorang imam mengeluarkan fatwa agama, menghukumnya minggu lalu.
Sultana memberitahu AFP dia “mangsa ketidakadilan yang dahsyat”.
“Saya tidak dapat berkata-kata apa yang mereka lakukan kepada saya,” kata wanita berusia 30 tahun itu.
Negara Islam Asia Selatan dengan 170 juta penduduk itu mempunyai sistem perundangan sekular dan penggunaan undang-undang syariah dalam kes jenayah adalah ditegah.
Fatwa yang dikeluarkan itu mencetuskan bantahan, dengan kumpulan feminis dan aktivis hak asasi manusia mengadakan protes untuk menuntut pendakwaan pelaku.
“Mereka bertindak seperti orang Zaman Pertengahan,” Fauzia Moslem, presiden kumpulan wanita terbesar di negara itu, memberitahu AFP.
Inspektor polis, Zakir Hossain berkata pegawainya menahan empat orang, termasuk imam masjid di Habiganj, selepas Sultana memfailkan kes jenayah pada 7 April terhadap 17 orang.
“Majlis kampung mengarahkan hukuman sebat dan rejam atas nama undang-undang syariah selepas dia dituduh melakukan hubungan luar nikah,” kata Hossain kepada AFP.
Orang tua kampung “mengatakan ia akan membebaskannya daripada dosa dan menebus kehormatannya”, tambahnya. – AFP


