Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rejim Syria takluk kembali lapan bandar

    BEIRUT, 1 Julai – Sekurang-kurangnya lapan bandar yang ditawan pemberontak di selatan Syria, kembali ke tangan rejim mengikut perjanjian bantuan Rusia semalam, selepas hampir beberapa serangan udara yang mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang awam, menurut pemerhati.

    Sejak 19 Jun lalu, rejim Syria melakukan kempen pengeboman besar-besaran di selatan Syria dalam cubaan mengambil semula kawasan strategik bersempadan dengan Jordan dan Bukit Golan yang diduduki oleh Israel.

    Bermula semalam, tentera kerajaan kini mengawal lebih separuh wilayah itu, bertambah daripada hanya 30 peratus pada permulaan kemuncak serangan, kata Pemantau Hak Asasi Manusia Syria.

    Lapan bandar di wilayah itu dikembalikan kepada rejim di bawah perjanjian dengan Rusia, menurut kumpulan pemerhati itu.

    Ia datang selepas ‘perbincangan di setiap bandar antara jeneral Rusia dan juga tokoh-tokoh tempatan dan pemberontak yang masih ada’, kata ketua pemerhati, Rami Abdel Rahman.

    Kepulan asap kelihatan selepas serangan udara tentera rejim Syria ke atas bandar yang ditawan oleh pemberontak di timur Daraa pada 30 Jun 2018. – AFP

    Perjanjian yang disebut ‘perdamaian’ itu adalah yang terbaharu dalam serangkaian perjanjian sedemikian di seluruh negara yang telah melihat kerajaan menakluki kembali kawasan yang ditawan oleh pemberontak dan ia sering berlaku selepas beberapa serangan yang dahsyat.

    Perjanjian-perjanjian ini yang dikenakan oleh rejim telah menyebabkan para pejuang pemberontak mengangkat senjata mereka dan membenarkan penduduk tempatan pergi ke daerah pemberontak lain di utara Syria.

    Tentera rejim terus melancarkan serangan ke bahagian lain di wilayah Daraa semalam dengan serangan udara membunuh sekurang-kurangnya 15 orang awam, menurut pemerhati.

    Selain itu, serangan udara yang tidak dikenal pasti juga membunuh 10 orang awam termasuk lima kanak-kanak di bandar Al-Sahwa, menurut pemerhati yang berpangkalan di Britain itu.

    Serangan udara oleh tentera rejim itu meragut lima orang awam di bandar Ghasam.

    Agensi SANA mengesahkan perjanjian untuk lima bandar di Dael, Ghariya Barat, Ghariya Timur, Talul Khlayf dan Tal al-Sheikh Hussein.

    Televisyen tempatan menyiarkan imej langsung penduduk Dael memegang poster Presiden Bashar al-Assad di hadapan kamera serta melaungkan slogan menyokong tentera.

    Pemerhati berkata, bandar yang dikembalikan kepada kawalan kerajaan juga termasuk Ibtaa, Um Walad dan Karak Timur. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda