Oleh Amri HTZ –
Sebagai ibu bapa, membahagiakan anak-anak merupakan salah satu perkara yang penting untuk dilakukan bagi membentuk keperibadian mereka.
Selain itu, pendidikan juga amat penting diterapkan dalam hidup mereka agar dapat berdikari hari kandila kelak. Di samping pendidikan formal, kaedah pembelajaran berasaskan permainan juga tidak kurang mustahaknya dalam mendidik anak-anak.
Persediaan awal
Untuk mereka alat pendidikan berasaskan permainan ini beberapa barangan perlu disediakan lebih awal seperti kayu berukuran 7.5 sentimeter (cm) x 4cm x 2cm, sekeping kayu berukuran 10cm x 15cm, kayu berukuran 1 ½ inci x 1/2inci x 55cm, lapan batang kayu aiskrim berukuran 7 milimeter lebar, gam kayu, super glue, cat akrilik, mesin scroll, mesin gerudi, mesin pemotong kayu, kertas pasir, alat pengepit kayu, pensel penanda, pita pengukur, mata gerudi, kikir kayu dan pahat kayu.
Reka tumbler kayu
Kayu berukuran 7.5cm x 4cm x 2cm tersedia sebelumnya akan dibentuk menjadi tumbler, iaitu sebuah patung kayu yang mampu melakukan aksi akrobatik secara sendirinya ketika ditempatkan pada kayu khusus nanti. Proses pemotongan kayu boleh dilakukan menggunakan mesin pemotong kayu meja atau secara manual menggunakan gergaji.
Bagi penggunaan mesin pemotong kayu meja, tetapkan rip fence dengan jarak 4cm dari bilah mesin. Setelah itu, sorong perlahan kayu dengan memastikan awda menolaknya menggunakan push stick terutama bagi material yang kecil. Setelah itu, bagi panjangnya pula, awda boleh menggunakan mitre gauge sebagai panduan ketika menyorongnya.
Apabila kayu berbentuk blok tersebut selesai dipotong, ukur dan tandakan bahagian sisi (permukaan kayu berukuran 7.5cm panjang) dengan kedudukan 2.5cm dari kedua-dua bahagian hujung kayu. Kedudukan tersebut kemudian akan ditebuk menggunakan mata gerudi berukuran 1/3 inci yang akan berfungsi sebagai ruangan untuk patung tersebut berputar.
Selesai menebuknya, cuba masukkan batang kayu aiskrim untuk memastikannya diameternya tepat. Ketika dimasukkan, putar kayu tersebut dan pastikan ia tidak tersekat.
Jika ini berlaku, awda perlu memperbesarkan sedikit lubang tersebut dalam memastikan patung itu nanti tidak tersangkut ketika dimainkan.
Langkah pembuatan seterusnya diikuti dengan mereka ruangan yang bersambung dengan lubang yang telah ditebuk sebelumnya. Mula-mula, lakar bentuk V pada kedua-dua hujung kayu (permukaan sama) seperti bentuk hujung penyepit baju. Kemudian, tandakan garisan pada bahagian tengah kayu yang berfungsi untuk menghubungkan lubang dengan lebar batang kayu aiskrim yang digunakan. Dalam memudahkan proses mereka ruangan tersebut, gunakan mesin scroll dengan bilah mesin yang bersesuaian. Menggunakan bilah standard tooth akan menghasilkan potongan yang halus tetapi lambat, manakala menggunakan skip-tooth memberikan potongan sedikit kasar namun cepat.
Apabila ruangan siap direka, awda perlu mencubanya dengan menyelatkan kayu aiskrim dan jika ia terlalu sempit, perbaiki ruangan menggunakan spiral blade mesin scroll. Selain itu, menggunakan kikir kayu bersesuaian juga dapat menyiapkan proses tersebut.
Patung daripada kayu tersebut tidak akan lengkap jika bahagian luarannya tidak dihiasi dengan ukiran karakter kartun atau animasi sesuai selera awda. Oleh itu ia memerlukan awda untuk melakar bentuk berkenaan dengan menggunakan pensel. Setelah melakarnya, bahagian luarannya akan dipotong menggunakan mesin scroll.
Serikan patung rekaan
Langkah seterusnya ialah mewarnakan permukaan luaran kayu tersebut dengan pewarna tersedia. Pada projek ini, bahagian kasut karakter akan diwarnakan dengan biru cerah, warna jingga untuk bahagian seluar, warna kuning untuk baju dan warna coklat untuk rambut. Selain warna, garis bentuk karakter juga akan dihiasi dengan warna hitam. Pada bahagian muka karakter, awda perlu menumpukan perhatian dalam pewarnaan dan lakarannya memandangkan ia penentu keindahan rekaan.
Setelah mewarnakannya, keseluruhan permukaan kayu kemudiannya akan disembur dengan cat clear untuk melindunginya. Sembur sekurang-kurangnya dua hingga tiga lapisan agar ia mampu melindungi rekaan sepenuhnya. Berikan masa untuk setiap lapisan mengering sebelum memberikan lapisan seterusnya sekurang-kurangnya 15 minit.
Reka tangga tumbler
Sementara bagi bahagian tangga tumbler, empat batang kayu menegak akan direka dengan ruangan untuk anak tangga menggunakan berukuran 1 ½ inci x 1/2inci x 55cm.
Terlebih dahulu setiap jarak 6cm akan direka ruang untuk menepatkan anak tangga. Awda perlu menandakan kedudukan setiap 6cm secara sejajar antara kedua-dua kayu yang digunakan.
Ruang untuk menempatkan anak tangga tersebut perlulah selaras dengan kayu yang digunakan. Bagi memudahkan proses menandakan lebar kayu, gunakan salah satu kayu tersedia sebagai rujukan. Dengan lebar kayu yang telah ditanda, awda bolehlah memulakan langkah mereka ruangan menggunakan pahat kayu. Kedalaman ruang juga perlu selaras dengan ketebalan kayu yang pada akhirnya akan menghasilkan permukaan yang sama rata.
Mencantum kayu aiskrim dengan kayu utama tangga memerlukan awda menggunakan gam kayu atau super glue. Menggunakan gam kayu akan menghasilkan cantuman yang benar-benar kukuh dan tahan lama, sementara super glue (mengikut kualiti), kekukuhannya tidaklah sebaik gam kayu.
Sebelum mencantumkan secara kekal kayu anak tangga tersebut, awda perlu mewarnakan kayu-kayu tersebut kecuali permukaan cantuman. Ini bagi memastikan kedudukannya kukuh ketika dicantumkan memandangkan permukaannya yang bebas daripada sebarang pewarna.
Langkah ini akan diikuti dengan menyusun dan mencantumkan anak tangga pada permukaan dalam kayu yang menegak dan diakhiri dengan dua batang lagi kayu menegak untuk menutupinya (teknik sandwich). Kekalkan kedudukannya menggunakan alat pengepit kayu sehingga gam mengering.
Cantum bahagian asas tangga
Apabila gam mengering, tangga yang telah direka kemudiannya akan dicantumkan pada kayu bahagian asas berfungsi sebagai pendakap untuknya kekal berdiri. Oleh itu sekeping kayu berukuran 10cm x 15cm akan digunakan pada langkah ini. Bagi mengukur jarak dan kedudukan tangga sebelum mencantumkannya, awda boleh menggunakan tangga rekaan sebagai pengukur.
Setelah menandakannya, reka ruangan menggunakan pahat kayu dengan kedalaman lebih kurang ½ inci. Isikan ruangan tersebut dengan gam kayu kemudian masukkan bahagian bawah tangga pada ruangan tersebut. Ia kemudiannya akan dikukuhkan menggunakan skru pada bahagian bawah kayu asas tersebut.
Dengan rekaan yang telah berjaya dihasilkan, kini ia boleh dimainkan dengan cara meletakkan patung rekaan pada bahagian anak tangga paling atas. Ketika dilepaskan, ia akan turun sendiri mengikut setiap satu anak tanga sehinggalah pada bahagian pengakhiran. Permainan unik ini setentunya berguna untuk perkembangan pendidikan anak-anak yang mudah untuk direka. Selamat mencuba!