Monday, May 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Reka bentuk inovasi hijau jadi pilihan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Universiti Teknologi Brunei (UTB) hari ini mengadakan seminar sempena Pertandingan Anugerah CIPTA Pengiran Muda Mahkota bertemakan ‘Inovasi Bagi Pengukuhan Ekonomi’ yang berlangsung di Dewan Teater, UTB.

    Pada seminar itu, tiga orang profesor dari dalam dan luar negara membentangkan kertas kerja masing-masing antaranya ialah kertas kerja bertajuk ‘Inovasi Hijau dalam Reka Bentuk Produk dan Penyelidikan’ oleh Profesor Madya Dr. Chong Wen Tong dari Universiti Malaya, Malaysia.

    Beliau memperkenalkan reka bentuk inovasi hijau sebagai kaedah reka bentuk baru yang diterima meluas di negara-negara maju di Barat yang menggunakan sepenuhnya sumber-sumber tenaga diperbaharui dan sumber tenaga kitaran hidup secara keseluruhannya.

    Manakala perubahan industri petroleum semenjak 30 tahun yang lalu dan implikasinya kepada pelajar kejuruteraan disentuh oleh Profesor Stephen Tyson dari UTB.

    Dalam pembentangannya, beliau menyentuh masa depan inovasi dalam industri tersebut, jurang kemahiran yang dijangkakan dan peluang kerjaya serta situasi sumber tenaga petroleum yang tidak menentu.

    Antara peserta seminar yang hadir di majlis berkenaan yang terdiri daripada pelajar, orang ramai dan kakitangan kerajaan.
    Antara peserta seminar yang hadir di majlis berkenaan yang terdiri daripada pelajar, orang ramai dan kakitangan kerajaan.

    Pembentang ketiga, Profesor Mahmoud Moghavvemi dari Universiti Malaya, membawakan tajuk ‘Our Humble Journey Towards Innovation’ yang menekankan perbezaan antara ciptaan dan inovasi.

    Menurutnya, ciptaan adalah kejadian pertama idea untuk satu produk baru manakala inovasi adalah satu penyelesaian kreatif ke dalam amalan dan proses mengubah idea-idea ke dalam produk dan perkhidmatan baru untuk mempertingkatkan kehidupan masyarakat.

    Pertandingan Anugerah CIPTA Pengiran Muda Mahkota yang memasuki edisi ke-8, dihasrat dapat menggalakkan para belia dan orang ramai membina, memproses produk-produk atau teknologi kreatif bagi aspirasi negara dan dunia luar.

    Pada masa yang sama, ia menyediakan satu platform atau pelantar untuk para pencipta yang berminat dan mempunyai daya kreativiti tinggi bagi menghasilkan produk inovasi yang berkualiti dan berfaedah untuk kesejahteraan manusia sejagat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda