Tuesday, April 22, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Reka bentuk projek pelabuhan Tanjung Embang di fasa akhir

    KOTA SAMARAHAN, 20 APRIL – Reka bentuk bagi pembangunan projek pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang kini berada di peringkat akhir, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Beliau berkata projek mega di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) itu turut mendapat sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa taklimat pembangunan negeri yang berlangsung di Wisma Bapa semalam.

    “Semalam saya telah menunjukkan kepada Perdana Menteri pelan induk (reka bentuk) platform pelabuhan laut dalam tersebut… mungkin tidak banyak penambahbaikan diperlukan kerana ia sudah hampir menjadi pelan muktamad.

    “Saya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang bersetuju dengan cadangan kita untuk membangunkan SGR, yang dijangka memberi impak besar kepada ekonomi negeri dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau berkata Sarawak terbuka menerima suntikan dana tambahan daripada Kerajaan Persekutuan bagi projek berkenaan, meskipun Kerajaan Negeri mempunyai peruntukan dan perancangan sendiri dengan kerjasama pihak swasta.

    Abang Johari berkata semasa taklimat berkenaan, Kerajaan Persekutuan turut menyatakan persetujuan untuk memberikan insentif kepada Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) bagi menyokong usaha Kerajaan Negeri membangunkan infrastruktur.

    Semalam, Ketua Setiausaha Malaysia, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam hantaran di Facebooknya berkata kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menyokong perancangan Sarawak dalam melaksanakan SGR, yang menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri itu.

    Menurutnya, pelaksanaan pelan berimpak tinggi tersebut dijangka mampu menarik pelaburan bernilai sehingga RM300 bilion serta mewujudkan lebih 180,000 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk Sarawak. – Bernama

    Abang Johari (kiri), semasa mrasmikan Majlis Rumah Terbuka Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Suarah Samarahan pada 20 April. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda