Friday, November 15, 2024
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Reka bentuk unik sekolah padang pasir India

    JAISALMER – Dalam cuaca panas terik di padang pasir Thar di India, di mana suhu musim panas mencecah lebih 50 darjah Celsius, sebuah sekolah yang mempunyai reka bentuk seni bina yang menarik menjadi oasis yang sejuk hasil daripada gabungan teknik lama dan reka bentuk moden.

    Sekolah Perempuan Rajkumari Ratnavati menggunakan batu pasir kuning yang sama seperti kubu abad ke-12 di Jaisalmer yang berdekatan, di negeri Rajasthan di barat India, yang digelar ‘bandar emas’ kerana warna batu itu.

    Seperti kubu tersebut, sekolah itu empunyai dinding tebal yang membantu memantulkan semula haba, manakala bahagian dalamnya disalut dengan kapur, bahan berliang yang mengawal kelembapan dan membantu penyejukan semula jadi.

    Berbeza dengan kubu purba, bumbung sekolah ini dipenuhi dengan panel solar, yang membekalkan semua tenaga di sekolah itu di kawasan yang kerap mengalami gangguan bekalan elektrik.

    Suhu di dalam sekolah, yang direka oleh arkitek yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Diana Kellogg dan dibina oleh pekerja tempatan – kebanyakannya ibu bapa murid – boleh menjadi 20 peratus lebih rendah daripada di luar.

    Gambar udara bertarikh 6 Ogos menunjukkan pemandangan Sekolah Perempuan Rajkumari Ratnavati, di kampung Kanoi berhampiran Jaisalmer, negeri Rajasthan, India. – AFP
    Murid-murid Sekolah Perempuan Rajkumari Ratnavati berdiri di luar sebuah rumah, di pinggir Jaisalmer, negeri Rajasthan, India. – AFP

    “Saya suka pergi ke sekolah,” kata Khushboo Kumari yang berusia lapan tahun, salah seorang daripada 170 pelajar.

    “Udara terasa seolah-olah datang dari penyaman udara.”

    Bilik darjah sekolah ini disusun mengelilingi halaman berbentuk elips terbuka yang menyerupai koliseum Rom, dan dinding dengan grid berlubang mewujudkan teduhan sementara membenarkan aliran udara yang menyejukkan.

    Tingkap yang tinggi membolehkan udara panas keluar apabila ia naik. Air hujan dikumpulkan dari bumbung rata.

    Di beberapa tempat, dindingnya dipenuhi dengan lubang-lubang kecil – teknik yang dikenali sebagai ‘jali’ yang secara tradisinya digunakan sebagai lambang kesopanan, melindungi wanita daripada pandangan dalam masyarakat konservatif.

    Sekolah ini menggalakkan pengudaraan, mewujudkan angin yang disalurkan oleh bangunan yang berbentuk bujur.

    “Terdapat pengudaraan silang,” kata penyelia sekolah, Rajinder Singh Bhati, yang berusia 29 tahun.

    “Jubin putih di teres memantulkan cahaya matahari. Ia benar-benar mesra alam.”

    India tahun ini mengalami gelombang haba terpanjang dalam sejarah, menurut pakar cuaca kerajaan.

    Suhu melonjak melebihi 50 darjah Celsius, dengan amaran bahawa orang ramai akan mengalami haba yang semakin panas pada masa hadapan.

    Manohar Lal, 32, bapa kepada murid Khushboo, berkata para pelajar tidak sabar-sabar menghadiri kelas disebabkan suhu sejuk di sekolah.

    “Terdapat gangguan bekalan elektrik yang kerap di Rajasthan, dan kanak-kanak terpaksa menderita kerana suhu mencecah hampir 50 darjah Celsius pada musim panas,” kata Lal di luar rumahnya yang sederhana yang diperbuat daripada lumpur dan batu bata, yang tidak mempunyai kipas siling.

    Namun tidak timbulnya kebimbangan seperti itu di sekolah kerana ia dikuasakan oleh tenaga solar,” tambahnya.

    “Ia berangin dan sejuk. Itulah sebabnya kanak-kanak suka pergi ke sekolah”.

    Sekolah ini dibiayai oleh Yayasan Pendidikan CITTA yang berpangkalan di AS, bermakna murid menghadiri sekolah secara percuma di negeri di mana kadar literasi untuk wanita adalah sekitar 52 peratus.

    Pakaian seragam, bahan pelajaran dan makan tengah hari untuk murid juga disediakan.

    “Ia adalah sesuatu yang sangat bermakna bagi para pelajar kerana mereka mendapat pendidikan berkualiti secara percuma, memandangkan mereka tidak mampu untuk membeli makanan atau pakaian yang sesuai,” kata seorang guru, Priyanka Chhangani. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda