Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Reka cawan daripada kayu

    Oleh Amri HTZ

    Sejak zaman dahulu, kayu merupakan bahan yang popular digunakan untuk mereka sesuatu daripadanya termasuk peralatan perabot, rumah, perkakas dapur dan sebagainya.

    Malah sehingga ke hari ini, penggunaannya masih meluas walaupun dengan kehadiran plastik bagi menggantikannya. Pelbagai manfaat boleh diperoleh daripada penggunaannya selain menggelakkan daripada saki baki bertoksik seperti kimia dan sebagainya yang dikeluarkan daripada plastik. Ikuti langkah mudah di bawah ini untuk mereka cawan unik daripada kayu.

    Barangan yang diperlukan

    Bagi mereka cawan yang diperbuat daripada kayu ini, beberapa barangan penting yang diperlukan ialah gerudi, mesin jigsaw, pengepit kayu (clamp), belt sander, kertas pasir (120 grit, 400 grit, dan 1,200 grit), drill press atau spinning drum sander, sekeping papan dengan ukuran lebih kurang 6″ x 24″ berketebalan 1″, gam kayu, perekat epoksi, pensel, kompas, mata gerudi berukuran ¾ inci, natural wood wax dan ketam kayu.

    Langkah-langkah pembuatan

    Untuk langkah pertama pembuatan, papan yang disediakan perlu diratakan permukaannya menggunakan ketam kayu atau kertas pasir. Ini tertakluk kepada bentuk permukaan kayu yang digunakan. Jika ia terlalu kasar dan tidak rata, penggunaan ketam kayu mampu mempercepatkan proses meratakannya. Manakala jika anda menggunakan kayu yang telah diketam, cukup hanya memastikan permukaan kayu tersebut bebas daripada bahan minyak yang mampu menggagalkan proses percantuman nanti.

    Setelah menyediakan papan yang bersih dan rata, lakar permukaannya dengan bentuk bulat dengan diameter 9sm menggunakan kompas atau hanya menggunakan stensil daripada cawan sebenar. Pastikan ukuran yang digunakan sesuai dengan keinginan, dan jika ragu, gunakan contoh ukuran daripada cawan sebenar.

    Kayu-kayu yang telah dipotongkan bahagian luarannya menggunakan mesin jigsaw.
    Potongan bahagian dalaman menggunakan mesin gerudi dan jigsaw.
    Meratakan permukaan dalaman menggunakan spinning drum sander.
    Wood wax perlu disapukan pada keseluruhan permukaan cawan untuk melindungi kayu selain berfungsi sebagai bahan kedap air.
    Belt sander digunakan untuk meratakan dan melicinkan permukaan luar cawan.

    Selesai mereka ukuran luaran (bulatan) menggunakan kompas, lakar satu lagi bulatan di mana kali ini pada bahagian dalam bulatan dengan diameter 7 sentimeter. Reka lakaran bulatan lebih kurang enam lakaran di mana lima daripadanya akan dijadikan bahagian badan cawan, sementara sekeping lagi untuk bahagian bawah cawan. Untuk bahagian bawah ini, anda tidak perlu membuat lakaran bulatan pada bahagian dalam (diameter 6 sentimeter tadi).

    Langkah seterusnya adalah memotong lakaran bulatan menggunakan mesin jigsaw. Mulakan daripada bahagian dalam dengan cara menebuk bahagian tengah menggunakan mesin gerudi. Setelah memotongkan bulatan bahagian dalam, teruskan langkah pemotongan untuk lakaran bulatan bahagian luaran.

    Kepingan kayu yang telah dipotong ini akan dicantumkan menggunakan gam kayu dan pengepit kayu. Sapukan permukaan cantuman dengan rata dan cantumkan dengan cara menyusun rata kayu bahagian badan cawan diakhiri dengan bahagian bawah cawan (bahagian kayu yang tidak ditebuk bahagian tengah). Setelah menyapukan keseluruhan permukaan cantuman, cantum dan kekalkan kedudukan struktur cawan menggunakan pengepit kayu. Berikan masa lebih kurang 24 jam untuk gam mengering.

    Apabila telah dipastikan gam mengering sepenuhnya, kini anda perlu meratakan permukaan dalaman cawan menggunakan spinning drum sander. Kertas pasir dengan bentuk bulat ini begitu sesuai untuk meratakan bahagian dalaman cawan memandangkan ia juga berbentuk bulat.

    Selesai meratakan permukaan luar cawan, teruskan langkah pembuatan dengan meratakan permukaan luaran cawan menggunakan belt sander.

    Penggunaan mesin di sini bertujuan untuk mempercepatkan dan memudahkan proses pembuatan. Selain guna mesin, langkah-langkah ini juga boleh dilakukan menggunakan kertas pasir secara manual dengan menggosokkan kertas pasir yang lebih kasar (120 grit) diikuti dengan lebih halus (400 hingga 800 grit) dan diakhiri dengan kertas pasir halus (1,200 ke 1,500 grit).

    Selain menumpukan perhatian menghaluskan permukaan cawan, pada bahagian mulut cawan, gosok permukaan tersebut sehingga membentuk permukaan yang membulat. Ini bagi memastikan anda akan merasa selesa ketika menggunakannya tanpa adanya sudut yang menajam, tidak rata dan sebagainya.

    Akhiri proses meratakan dan melicinkan permukaan cawan menggunakan kertas pasir yang halus bagi memastikan lubang pori kayu yang terdapat pada permukaan dikecilkan dan diratakan (mampu mengurangkan penyerapan air ke dalam kayu).

    Setelah keseluruhan permukaan kayu digosok menggunakan kertas pasir 1,200 grit, langkah seterusnya adalah menyapukan permukaan kayu menggunakan wood wax. Gunakan wood wax yang diperbuat daripada bahan semula jadi dan selamat untuk digunakan pada perkakas dapur.

    Fungsi utama wood wax di sini adalah bagi memastikan permukaan kayu dilindungi daripada serangga perosak, bahan wax sebagai bahan kedap agar air tidak menyerap ketika diisikan ke dalam cawan, wood wax juga mampu mempertingkatkan dan menimbulkan ira-ira yang terdapat pada kayu tersebut.

    Ini sekali gus mampu mencantikkan rekaan seperti profesional. Sapukan wood wax kira-kira tiga lapisan dengan memberikan masa pada setiap lapisan untuk menyerap lebih kurang dua jam.

    Langkah terakhir bersihkan lebihan wood wax guna kertas tisu. Jika tidak terdapat lebihan wood wax pada permukaan luar cawan, ini menandakan wood wax yang disapukan belum mencukupi dan perlu ditambah dengan cara menyapukannya lagi. Setelah membersihkan permukaan cawan, kini anda hanya perlu mencucinya dan mengisikan dengan minuman kegemaran sambil menikmati hasil rekaan tersendiri!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda