Oleh Amri HTZ –
Menyelesaikan sesebuah projek yang dilakukan sendiri setentunya memberikan kepuasan setelah berjaya melaksanakannya.
Namun lebihan barangan hasil projek sebelumnya yang tidak terpakai setentunya dirasakan suatu pembaziran. Ini terutamanya potongan kayu yang terkumpul dan belum dimanfaatkan. Oleh itu dalam menyelesaikan masalah sedemikian, projek kali ini akan mereka papan pemotong berbentuk gitar menggunakan daripada lebihan kayu untuk memanfaatkannya.
Antara barang diperlukan
Mesin pemotong kayu
Mesin router
Kayu berlainan warna
Gam kayu
Pahat kayu
Kertas pasir
Wood finish
Pita pengukur
Alat pengapit kayu
PILIH KAYU SEBELUM POTONG
Lebihan kayu tersedia terlebih dahulu dipilih terutama dari segi ukuran dan warnanya. Besar keseluruhan rekaan 16 inci, oleh itu, awda perlu menyediakan kayu dengan panjang lebih kurang 18 inci. Ketebalan rekaan pula disarankan tidak kurang daripada 3 inci.
(gambar 2)
Bentuk badan gitar yang dipilih di sini merupakan daripada gitar elektrik. Selain bentuk sedemikian, bentuk gitar akustik juga boleh dipilih sesuai dengan keinginan. Mendapatkan bentuk badan gitar kini amat mudah dengan hanya memuat turun dari Internet untuk dijadikan templat. (gambar 3)
Langkah seterusnya ialah mencetak templat diperlukan pada kertas berukuran A3. Jika ukuran sedemikian tidak dimiliki, mencetaknya pada keras berukuran A4 menjadi beberapa keping merupakan pilihan. Templat berkenaan kemudiannya dipotong untuk dilekatkan pada permukaan kayu nanti. Bagi awda yang mahir dalam lukisan, melakar bentuk terus pada permukaan papan akan mempercepatkan langkah mendapatkan bentuk diinginkan.
(gambar 4)
POTONG KAYU TERSEDIA
Sebelum membolehkan awda mencantumkan kepingan kayu dikumpulkan, terlebih dahulu potong kayu tersebut dengan panjang kasar diperlukan. Manakala untuk ketebalan kayu, disarankan bagi memotongnya dengan tebal kasar yang hampir sama untuk mengelakkan masa terbuang terlalu banyak untuk meratakan permukaan kayu nanti. (gambar 5)
Setelah kayu tersedia, cantum kesemua kayu dengan memastikan setiap satu disusun secara berselang seli dari segi warna. Setiap permukaan cantuman akan disapukan gam kayu dengan menyeluruh kemudian dikekalkan kedudukannya menggunakan alat pengapit kayu. Biarkan gam mengering selama 24 jam. (gambar 6)
RATAKAN PERMUKAAN KAYU
Apabila gam mengering, langkah seterusnya ialah meratakan permukaan kayu. Jika awda memiliki mesin ketam kayu, langkah ini amat mudah untuk dilakukan dengan memastikan setiap kali kayu dimasukkan, alat mengubah kedudukan bilah mesin ditetapkan sedikit demi sedikit. Manakala bagi yang mahir dalam penggunaan alat ketam kayu tradisional, pastikan bilah alat dalam keadaan tajam dan tidak ditetapkan kedudukannya terlalu terkeluar sekali gus menyukarkan langkah menyorongnya. Setelah itu lekat templat dan potong menggunakan mesin jig. (gambar 7)
Cara lain meratakan permukaan kayu ialah dengan menggunakan mesin router. Langkah ini memerlukan awda mereka guide jig bagi memastikan permukaan yang dibuang menggunakan mata mesin dalam keadaan rata. Menggunakan lebihan kayu untuk mereka guide jig setentunya akan memanfaatkan dan boleh digunakan bagi projek lainnya. (gambar 8)
Setelah alat guide jig berjaya direka, ketika meratakan permukaan kayu menggunakan mesin straight bit, pastikan potongan tidak terlalu dalam bagi mengurangkan beban pada mesin. Selain itu memotongnya secara berperingkat (sedikit demi sedikit) akan memudahkan langkah dan kurang membahayakan seperti terjadinya kickback. (gambar 9)
LINDUNGI PERMUKAAN REKAAN
Selesai merekanya, keseluruhan permukaan kayu kemudiannya akan dihalusi menggunakan kertas pasir berukuran 400, 800 dan 1,500 grit. Mulakan dengan kertas pasir yang kasar diikuti dengan yang lebih halus. Setelah itu sapukan permukaan kayu dengan wood finish pilihan.
Sekurang-kurangnya dua lapisan pelindung diperlukan dengan memastikan setiap lapisan menyerap terlebih dahulu sebelum disapukan lapisan seterusnya.
Tip
Pilih wood finish yang bebas bahan kimia dan selamat untuk makanan sebelum menyapukannya pada permukaan kayu.
Ketatkan alat pengapit kayu sehingga lelehan gam boleh dilihat pada permukaan cantuman kayu bagi memastikan cantuman kukuh ketika gam mengering.