Thursday, December 19, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Reka papan pemotong unik

    Oleh Amri HTZ

    Papan pemotong merupakan alat penting untuk dimiliki terutama kepada mereka yang sering menghabiskan masa di dapur.

    Terdapat beberapa jenis papan pemotong yang sering menjadi pilihan terbuat daripada buluh, getah, plastik mahupun kayu. Setiap satu mempunyai kelebihan masing-masing sama ada dari segi pembersihan, ketahanan dan bentuknya.

    Walau bagaimanapun, sesetengah masyarakat lebih memilih papan pemotong yang terbuat daripada kayu.

    Ini disebabkan ia lebih selamat, tahan lama, dan mampu mengurangkan kesan terhadap ketajaman pisau digunakan.

    Persediaan awal penting

    Bagi mereka papan pemotong yang dibuat sendiri ini, awda terlebih dahulu perlu menyediakan barangan seperti mesin pemotong kayu, mesin ketam kayu, mesin router, alat pengepit kayu, pita pengukur, gam kayu, wood finish pilihan, kertas pasir, alat pengikis, pita pelekat dan kepingan papan (berwarna cerah dan gelap).

    Gam yang telah mengering membolehkan kayu untuk diketam bagi meratakannya. – Rschoenm
    Kayu-kayu yang telah dipotongk dengan sudut 30 darjah dicantumkan menggunakan gam kayu dan alat pengepit kayu. – Rschoenm
    Foto Rschoenm.
    Perbezaan antara rekaan yang permukaannya telah disapukan dengan Tung oil dengan yang belum. – Rschoenm
    cantuman kayu sebelumnya (gambar kiri) kemudiannya akan potong dengan lebar 1 1/8 inci. – Rschoenm
    Bahagian sisi rekaan akan dimasukkan dengan kayu sokongan yang direka alurnya menggunakan mesin router. – Rschoenm

    Ukur sebelum potong

    Sebelum memulakan proses rekaan, papan-papan yang dipilih perlulah daripada kayu yang sesuai seperti keras dan tidak mudah merekah.

    Dalam projek ini, kayu jenis walnut dan maple digunakan memandangkan ia cukup mudah untuk diperoleh.

    Kepingan papan yang tersedia terlebih dahulu perlu dipastikan bebas daripada sebarang paku terutama bagi awda yang menggunakan kayu terpakai. Ini bagi memastikan peralatan yang digunakan untuk membentuknya tidak rosak yang setentunya cukup berharga untuk diperbaiki.

    Setelah itu, potong papan dengan ukuran 4 inci x 8 inci dengan panjang 20 inci dan tebal ¾ atau 1 inci. Dua keping papan dengan ukuran sama diperlukan dengan warna kayu cerah dan gelap.

    Papan yang telah dipotong tersebut kemudiannya akan dipotongkan lagi, kali ini dengan sudut 30 darjah dengan lebar yang berbeza di antara 1 inci dan 3 inci.

    Selesai memotongnya, kepingan kayu tersebut kemudiannya akan disusun menjadi satu semula, tetapi kali ini dengan kedudukan kayu berselang-seli di antara yang gelap dan cerah.

    Setelah menyusunkannya, potong pita perekat dan lekatkannya pada setiap permukaan potongan untuk menandakannya. Tanda yang diberikan itu akan membantu awda menyusun semula setiap kepingan untuk mencantumkannya secara kekal.

    Cantum semula potongan

    Kepingan kayu yang telah ditandakan kemudiannya akan dicantumkan semula membentuk papan 4 inci x 8 inci dengan panjang 20 inci menggunakan gam kayu. Sapukan setiap permukaan cantuman dan kekalkan kedudukannya menggunakan alat pengepit kayu. Bagi bahagian sisinya, dalam memastikan kedudukannya tidak bergerak, gunakan kepingan kayu atau besi panjang sebagai panduan untuknya yang juga perlu dikekalkan menggunakan alat pengepit kayu.

    Setelah gam mengering kira-kira 24 jam, lelehan gam kayu yang telah mengeras perlu dibuang menggunakan alat pengikis. Ini bagi memastikan bilah mesin ketam tidak rosak atau tumpul memandangkan gam kayu yang mengering akan menjadi keras.

    Permukaan kayu yang telah bersih daripada lelehan gam kayu mengering kemudiannya akan diratakan menggunakan mesin ketam kayu. Proses meratakan permukaan kayu ini bukanlah bertujuan membuangkan permukaan kayu semata-mata, malahan untuk menjadikan ia benar-benar rata setelah kayu dicantumkan semula yang kebiasaannya terdapat permukaan yang bertingkat disebabkan proses pengetatan alat pengepit kayu.

    Kayu yang telah diratakan seterusnya akan dipotong menjadi beberapa batang kayu dengan lebar 1 1/8 inci setiap satu. Gunakan bantuan rip fence mesin pemotong kayu untuk mendapatkan ukuran yang sama rata.

    Potongan kayu tersebut kemudiannya akan disusun semula lagi membentuk sekeping papan besar dan kali ini memerlukan awda untuk menyusun dalam kedudukan berbalas seperti corak herringbone.

    Pada bahagian tengah corak, akan diselitkan dengan kayu berwarna gelap berukuran ¼ inci lebar yang sama panjang dan tebal dengan kayu lainnya.

    Sementara pada bahagian tengah di antara kedua-dua corak, akan ditempatkan kayu berwarna gelap dengan ketebalan lebih kurang 1 ½ inci.

    Bagi kedua-dua bahagian sisi corak, dua batang kayu berwarna cerah akan ditempatkan dengan salah satunya berukuran 1 ½ inci manakala satu lagi 2 inci.

    Setelah menyusunnya, tandakan setiap kepingan menggunakan pita perekat (sama seperti langkah sebelumnya) sebelum awda menyapukan gam untuk mencantumkannya menjadi satu semula.

    Kekalkan kedudukan kayu yang telah disapukan dengan gam menggunakan alat pengepit kayu.

    Bentuk terakhir rekaan

    Kayu-kayu yang telah dicantumkan menjadi sekeping papan besar kemudiannya akan dipotong lagi untuk mendapatkan bentuk akhir rekaan. Sebelum itu bersihkan permukaan kayu daripada gam dan ratakan semula permukaan kayu menggunakan mesin ketam. Jika mesin ketam terlalu kecil untuk melakukannya, menggunakan orbital sander juga boleh mendapatkan permukaan diperlukan.

    Setelah itu potong bahagian sisi rekaan dengan ukuran akhir 11 inci x 16 inci. Pemotongan menggunakan mesin pemotong kayu meja memerlukan kemahiran dan bantuan mitre gauge memandangkan ia berukuran besar.

    Oleh itu langkah pemotongan yang menggunakan circular saw adalah amat sesuai dan mudah.

    Dalam memastikan kayu tidak meleding ketika berhadapan dengan kelembapan, bahagian sisi rekaan akan dimasukkan dengan kayu sokongan. Menggunakan mesin router, reka alur untuknya sesuai dengan ketebalan kayu digunakan iaitu ¼ inci.

    Selain sebagai penyokong struktur rekaan, bahagian tersebut akan menambah hasil akhir rekaan. Gunakan gam kayu untuk mencantumkannya dan buangkan lebihan kayu menggunakan ketam kayu atau kertas pasir setelah gam mengering.

    Sapu pelindung kayu

    Permukaan rekaan pada langkah terakhir perlu dilindungi memandangkan ia akan berdepan dengan kelembapan.

    Bukan sahaja boleh memendekkan hayat rekaan, air daripada bahan yang potong boleh menyerap dan menjadikan papan pemotong kurang bersih untuk digunakan berulang-ulang.

    Pilih wood finish yang terbuat daripada bahan bebas kimia. Ini juga bagi memastikan ia selamat untuk makanan yang akan dikonsumsi nanti.

    Dalam projek ini, pelindung jenis Tung oil digunakan yang memerlukan awda menyapukan keseluruhan permukaan menggunakan tuala bersih.

    Biarkan ia menyerap selama beberapa jam sebelum menyapu lapisan kedua. Dengan langkah ini, papan pemotong yang direka sedia untuk digunakan sekali gus menyerikan lagi ruangan dapur dengan hiasan baharu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda