Oleh Amri HTZ
Rekod gramofon atau lebih popular dengan nama piring hitam adalah sesuatu yang tidak asing lagi bagi mereka yang pernah memilikinya sebagai hiburan suatu ketika dulu. Kehadirannya tidak lagi dirasakan pada zaman moden ini setelah digantikan dengan alat yang lebih canggih.
Sesetengah masyarakat hanya menjadikannya sebagai koleksi terutama jika rekod yang dimiliki itu merupakan kugiran atau seorang artis yang terkenal. Namun bagi yang kurang popular, rekod tersebut hanya disimpan atau mungkin dibuang dan bagi mengelakkan ini berlaku, memanfaatkannya menjadi suatu perhiasan merupakan satu langkah untuk menyokong inisiatif penggunaan semula barangan terpakai.
Peralatan yang perlu disediakan
Bagi mereka perhiasan menggunakan piring hitam ini, barangan penting yang diperlukan ialah fret saw atau mesin skrol, pemotong kayu, piring hitam terpakai, kelengkapan perlindungan diri (PPE), komputer, mesin pencetak, kertas putih berukuran besar (sesuai dengan saiz maksimum kertas pada mesin pencetak), bilah fred saw atau skrol jenis spiral dan skip tooth atau reverse skip tooth, pita pelekat atau gam jenis air, alcohol wipe, gerudi, mata gerudi berukuran 1mm, dan mekanisme jam.
Teknik pemotongan penting
Sebelum memulakan langkah pemotongan bentuk yang diinginkan pada permukaan vinyl record yang telah disediakan, mula-mula cetak garis bentuk gambar yang ingin digunakan menggunakan kertas melalui mesin pencetak. Jika mesin pencetak yang digunakan hanya mampu mencetak kertas berukuran kecil tetapi gambar yang diperlukan berukuran lebih besar daripada saiz kertas A4, bahagikan gambar kepada dua bahagian (separuh daripada gambar pada sekeping kertas).
Setelah mencetak garis bentuk gambar yang diperlukan, sebelum melekatkannya, bersihkan permukaan piring hitam menggunakan pembersih beralkohol. Pembersih jenis sedemikian bukan sahaja berfungsi untuk membersihkan kotoran dihasilkan oleh tapak tangan, malahan ia juga mampu membuang kesan berminyak atau wax yang boleh menggagalkan atau menghalang kertas untuk dilekatkan.




Kertas yang telah dicetak sebelumnya akan disapukan pada bahagian belakangnya menggunakan gam jenis air secara keseluruhannya. Sebelum itu, potongkan kertas tersebut mengikut bentuk piring hitam menggunakan gunting dan setelah itu lekatkan kertas tersebut pada permukaan depan piring hitam. Biarkan gam mengering sepenuhnya selama beberapa jam sebelum mengendalikannya.
Cara lain untuk melekatkannya ialah menggunakan pita perekat dua muka. Keseluruhan bahagian belakang kertas perlu dilekatkan dengan pita perekat sebelum melekatkannya pada permukaan piring hitam. Cara ini melalui pengamatan penulis agak membazir walaupun mampu menjimatkan masa dari segi menunggu gam jenis air untuk mengering.
Selain itu, pita pelekat dua muka yang agak tebal dan kurang kukuh (kualiti rendah) juga boleh memberi kesan kepada bilah mesin pemotong memandangkan bilah tersebut akan bergerak secara dua arah (atas dan ke bawah) menyebabkan bilah dipenuhi getah daripada pita perekat selain boleh terkopek. Hal yang berlaku boleh menyebabkan kertas berubah kedudukan sekali gus menjadikan sukar untuk menetapkan kedudukan potongan. Untuk mengelakkannya, pilih pelekat dua muka yang berkua-liti dan mampu bertahan lama.
Teknik pemotongan sesuatu garis bentuk gambar pada permukaan piring hitam perlu melalui langkah yang betul. Jika tidak, pada bahagian yang lebih terperinci (bahagian kecil atau halus) boleh patah selain turut menyebabkan bila pemotong putus (memandangkan ukurannya terlalu kecil) terutamanya ketika melakukan pemotongan dengan pusingan tajam (sharp turn).
Mulakan permukaan yang hendak dipotong daripada bahagian dalam ke luaran. Ini bagi memastikan rekaan pada bahagian dalam boleh bertahan (bahagian kecil) dengan sokongan yang ada pada bahagian luarannya. Selain itu, permukaan yang tidak boleh diakses oleh bilah dari luar, memerlukan anda untuk menebuk bahagian yang hendak dipotong dengan mata gerudi bagi membolehkan bilah pemotong dimasukkan.
Mungkin anda hairan dengan cara ini tetapi ya, beginilah cara mesin skrol atau fret saw berfungsi; langkah memotong pada bahagian dalaman yang tidak dapat diakses daripada bahagian luaran memerlukan bilah pemotong dilepaskan daripada kedudukannya (salah satu bahagian hujung) kemudian dimasukkan pada permukaan yang telah ditebuk sebelum diketatkan semula.
Bilah jenis skip tooth atau reverse skip tooth boleh digunakan untuk pemotongan biasa namun pada bahagian pusingan tajam, ia perlu dilakukan secara berhati-hati. Ini kerana langkah memutarkan bahagian potongan juga akan menyebabkan bilah berpusing sekali gus menjadikannya putus. Untuk mengelakkannya, menukarkannya kepada bilah jenis spiral adalah lebih baik namun sebagai seorang yang sudah mahir, penggunaan bilah jenis skip tooth atau reverse skip tooth sudah cukup memadai.
Ketika proses pemotongan, pegang dengan kukuh piring hitam tersebut dengan menumpukan jari telunjuk kedua-dua tangan pada bahagian berdekatan dengan bilah pemotong sebagai sokongan. Setelah memotong keseluruhan permukaan, rendam piring hitam ke dalam bekas berisi air untuk membuangkan permukaan yang masih mempunyai lebihan kertas yang dilekatkan.
Dengan langkah pembersihan tersebut, permukaan piring hitam yang telah dikeringkan kini boleh ditetapkan pada bahagian tengahnya dengan mekanisme jam. Selain untuk dijadikan jam perhiasan dengan lakaran garis bentuk gambar kugiran yang diminati mahupun diri sendiri, dengan membuatkan bingkai pada bahagian luarannya berlatarbelakangkan warna putih, ia juga boleh menjadi seni gambar monokrom yang setentunya sesuatu yang luar dari kebiasaan.