Oleh Syahmi Hassan –
Jika awda suka menikmati makanan ringan atau minuman ketika bersantai di sofa, meja C ialah projek DIY mudah yang boleh awda hasilkan sendiri menggunakan kayu terpakai. (Gambar 1)
Meja ini direka supaya boleh diselaras ke sisi sofa, menjadikannya praktikal dan menjimatkan ruang. (Gambar 2)
Bahan-bahan yang diperlukan:-
• Permukaan meja lama (dipotong 14″ x 22″)
• Dua kaki tegak (4″ x 24″)
• Empat batang penyokong (3″ x 13″)
• Satu batang silang (2 ½” x 19″)
• Dowel kayu ¼ atau 5/16 inci
• Skru kayu yang sesuai
• Gerudi dan jig untuk meluruskan lubang
• Gergaji jig
• Kertas pasir
• Gam kayu
• Pensel dan pengukur
POTONG KOMPONEN
Potong permukaan meja berukuran 14″ x 22″. Kaki tegak dipotong sepanjang 24″ dengan kelebaran 4″. Empat batang penyokong dipotong 13″ dengan kelebaran 3″. Batang silang pula sepanjang 19″ dengan kelebaran 2 ½”.
Ujung kaki tegak dan penyokong dipotong pada sudut 45 darjah. (Gambar 3)













BENTUKKAN POTONGAN
Bulatkan sudut permukaan meja menggunakan gergaji jig. Kaki tegak dibentuk melengkung: ukur ¾” di bahagian atas dan bawah untuk garisan luar, kemudian ulang di bahagian dalam.
Penyokong atas dan bawah pula ditiruskan daripada lebar asal kepada 1″. (Gambar 4, 5, 6 & 7)
SAMBUNGKAN PENYOKONG KE KAKI TEGAK
Kepit sudut 45 darjah penyokong dan kaki, kemudian skru bersama. Gerudi lubang ¼ atau 5/16 inci dari bahagian rata penyokong ke dalam kaki. Sapukan gam dan masukkan dowel kayu.
Ulang untuk setiap sudut. Potong lebihan dowel dan gosok licin. (Gambar 8, 9 & 10)
PROSES PENYATUAN
1. Gosok semua bahagian sehingga halus.
2. Letakkan permukaan meja menghadap bawah, ukur ¾ inci dari sisi pendek dan pasangkan kaki dengan skru dari bawah penyokong.
3. Ulang langkah dengan kaki sebelah lagi.
4. Pasang batang silang kira-kira 3″ dari bahagian bawah belakang untuk menstabilkan meja. Skru 2″ digunakan untuk mengikatnya.
5. Tutup lubang skru dengan butang kayu. (Gambar 11, 12 & 13)
KEMASAN AKHIR
Warnakan, varniskan atau sapu minyak kayu mengikut citarasa awda. Kini meja C siap digunakan sesuai untuk ruang tamu dan menjadikan waktu santai lebih selesa.
Tip-tip rekaan:-
• Pastikan sudut potongan tepat agar meja stabil.
• Gunakan gam kayu berkualiti tinggi untuk kekuatan tambahan.
• Tambah pad silikon di bawah kaki meja supaya tidak mencalar lantai.

