Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Reka vise besi tanpa kimpal

    Oleh Amri HTZ

    Vise merupakan alat yang begitu penting perlu dimiliki terutama bagi seorang pereka profesional mahupun sambilan.

    Alat yang sering digunakan untuk mengepit sesuatu barang untuk menetapkan kedudukannya secara sementara ketika melakukan sesuatu ke atasnya biasanya terjual pada harga yang agak mahal.

    Bagi seorang pereka sambilan, membelinya dirasakan suatu pembaziran memandangkan ia jarang digunakan.

    Oleh itu dengan membuatnya sendiri menggunakan beberapa barangan adalah pilihan lain untuk memilikinya.

    Keperluan yang mesti disediakan

    Dalam projek rekaan vise besi tanpa kimpalan ini, awda perlu menyediakan barangan seperti besi berbentuk U berukuran 14 sentimeter lebar dan 6 sentimeter tinggi, angle iron berukuran 25 milimeter x 25 milimeter, bolt berukuran M10 dan M12, rod berulir M20, keluli tahan karat M12, mesin pemotong besi bersama disk pemotong dan grinding, mesin gerudi, mata gerudi (berukuran 10, 12, 20 dan 38 milimeter), alat tapper (M10, M12 dan M20), sepana Allen, pen penanda, centre punch, dan pita pengukur.

    Proses menetapkan angle iron berukuran 25 milimeter pada kedua-dua bahagian sisi rangka utama.
    Besi berbentuk L yang direka hasil potongan besi berbentuk U digunakan sebagai jaw alat vise.
    Dua keping plat digunakan pada bahagian bawah bagi membolehkan jaw bergerak dan kekal pada kedudukan.
    Plat yang mempunyai lubang berulir akan ditetapkan sebagai panduan rod digerakkan.
    Kepingan plat yang telah dipotong bagi mengekalkan bahagian hujung rod berulir.

    Tumpu perhatian proses pembuatan

    Langkah pertama pembuatan, besi berbentuk U akan dipotong dengan panjang 26 sentimeter menggunakan mesin pemotong besi.

    Ukur dan tandakan kawasan potongan bagi memastikan potongan yang bersih dan rata.

    Walaupun besi tersebut cukup berat, bagi memastikan kedudukannya tetap ketika proses pemotongan, awda boleh menggunakan F-clamp dengan mengepitnya pada meja kerja.

    Setelah memotongnya dengan panjang diperlukan, bahagian sisi besi dengan ketinggian 6 sentimeter akan dipendekkan menjadi 2.5 sentimeter tinggi.

    Sama seperti langkah sebelumnya, ukur dan tanda permukaan yang hendak dipotong menggunakan pen penanda.

    Permukaan tajam yang dihasilkan selepas proses pemotongan perlu dibersihkan menggunakan disk grinding sebelum beralih ke langkah mereka ruang tengah vise.

    Setelah membersihkannya, bahagian tengah besi tersebut akan ditebuk dengan lubang berukuran 38 milimeter pada kedudukan 2 inci dari kedua-dua bahagian hujung (pada kedudukan 2 inci dari hujung tengah) menggunakan mata gerudi. Dengan lubang yang ditebuk tersebut, awda kini hanya perlu memotong bahagian tengah di antara dua lubang tersebut bagi menjadikannya satu ruangan yang lebih panjang.

    Pada bahagian kedua-dua sisi besi berbentuk U, akan ditebuk dengan tiga lubang dan direka ulir menggunakan M10. Setelah itu menggunakan angle iron tersedia, potong sesuai dengan panjang besi U, tebuk bahagian sisinya mengikut kedudukan pada besi U untuk mencantumkannya menggunakan bolt.

    Bagi mereka jaw alat vise, lebihan besi U akan digunakan pada langkah ini. Hanya bahagian sisi besi tersebut digunakan menjadikannya bentuk L setelah memotongnya.

    Memandangkan tinggi besi 6 sentimeter, lebar untuk permukaan satu lagi juga akan diselaraskan.

    Tiga batang besi berbentuk sama akan dipotong dengan panjang 14 sentimeter (mengikut lebar vise). Salah satu daripadanya akan ditetapkan pada bahagian struktur utama menggunakan bolt dengan lubang perlu ditebuk dan direka dengan ulir.

    Bagi membolehkan rod berulir ditempatkan nanti kekal pada kedudukan, sekeping plat akan dibentuk yang terdapat lubang berulir pada bahagian tengahnya sesuai dengan ukuran rod digunakan. Dalam meminimumkan pembaziran barangan, plat tersebut akan didapatkan daripada potongan besi U sebelumnya yang hanya digunakan bahagian sisinya.

    Plat dengan panjang 7 sentimeter dan lebar 5 sentimeter akan dipotongkan bagi mereka bahagian tersebut. Bahagian tengahnya (5 milimeter dari bahagian bawah) akan ditebuk dan direka ulir sesuai dengan ukuran rod berulir digunakan. sementara bahagian kedua-dua sisi (1 sentimeter dari bahagian lubang tengah) akan ditebuk lubang untuk menempatkannya pada besi L (jaw). Setelah menebuknya, awda boleh membentuk luarannya untuk menjadikan rekaan lebih menarik. Selesai merekanya, jaw yang digunakan untuk bahagian tersebut akan ditempatkan secara kekal dengan menetapkannya menggunakan bolt.

    Sementara itu dua keping plat juga akan dipotong lebih awal yang sama bentuk dan ukurannya dengan plat sebelumnya. Namun plat kali ini pada bahagian tengahnya (lubang) tidak akan direka dengan ulir dan saiznya pula lebih kecil daripada ukuran rod digunakan.

    Langkah seterusnya ialah mereka mounting untuk membolehkan jaw alat vise bergeser dengan mudah dan kekal di tempatnya. Untuk itu dua keping plat akan dipotongkan yang mana kepingan pertama (lebih kecil) akan diletakkan pada bahagian ruangan tengah vise.

    Oleh itu ia memerlukan awda untuk memotong besi dengan lebar 35 milimeter dan panjang 3 sentimeter untuk membuatkannya bergerak dengan mudah.

    Manakala untuk kepingan kedua, panjang yang sama dengan kepingan besi pertama akan diikuti sementara untuk lebarnya pula lebih kurang 3.7 sentimeter. Kedua-dua kepingan tersebut akan ditebuk bahagian tengahnya dengan dua lubang bagi ruangan bolt dimasukkan sementara lubang berulir pula diperlukan pada bahagian tengah jaw bagi membolehkan bolt diketatkan.

    Bahagian jaw terakhir (jaw tengah), pula berfungsi sebagai bahagian yang bergerak untuk mengepit sesuatu. Oleh itu, dua keping plat yang telah dipotong awal sebelumnya akan digunakan untuk mengekalkan bahagian hujung rod berulir. Bahagian bawah lubang pada plat tersebut akan dipotongkan bagi memudahkan rod berulir dimasukkan.

    Rod berulir tersedia, salah satu bahagian hujungnya, akan direka dengan ruangan beralur berfungsi untuk mengekalkan kedudukannya pada jaw sementara membolehkannya diputar dan kekal pada kedudukan plat yang ditetapkan. Gunakan mesin pemotong besi untuk mereka alur tersebut dengan kedalaman 5 milimeter.

    Jaw bahagian tengah pula akan ditebuk dengan kedalaman 5 milimeter bagi memberikan ruangan hujung rod untuk bergerak ketika diputarkan. Jika tiada ruangan tersebut, memutarnya akan menjadi sukar malah tersekat-sekat. Sebelum menempatkan kedua-dua keping rod untuk bahagian hujung rod tersebut, salah sekeping daripadanya perlu dibulatkan pada bahagian bawahnya bagi membolehkan ia ditempatkan dengan mudah memandangkan bahagian dalaman jaw (besi L) tidak mempunyai permukaan sempurna (90 darjah).

    Langkah terakhir ialah menetapkan kepingan plat tersebut untuk membolehkan vise digunakan. Bagi memastikan rekaan dilindungi, penggunaan cat untuk permukaan besi adalah disarankan kecuali bahagian rod berulir.

    Rekaan yang telah berjaya dilakukan ini kini membolehkan awda mengepit sesuatu rekaan untuk mengekalkan kedudukannya ketika awda mengendalikannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda