KUALA LUMPUR – Sebelum umat Islam menyambut bulan puasa Ahad ini, media sosial mula dibanjiri ‘baju raya’ dengan pelbagai rekaan, warna dan corak yang sinonim dengan masyarakat Melayu.
Terselit di celah-celah rekaan asli itu, baju Melayu dan kurung dengan motif adiwira Ultraman yang dikongsikan oleh pengguna TikTok @nabiu_rahman menarik perhatian warganet.
Menerima hampir 300,000 tanda suka ketika laporan ini ditulis, fesyen baju Melayu dan kurung pelbagai warna yang dijana menerusi kecerdasan buatan atau AI itu, nyata menghiburkan warga maya yang meninggalkan pelbagai komen termasuk berseloroh mahu membelinya.
“Pelik-pelik je baju raya sekarang, harga berapa yang purple tu?” ; “Tak ada beg kuning pun” ; “Ingatkan betul rupa-rupanya AI. Ingat nak suruh mak beli’ ” antara komen-komen lucu ditinggalkan.
Di sebalik hantaran yang mungkin bersifat gurauan, timbul juga pertanyaan sama ada fesyen sebegini berpotensi dijadikan realiti.
Pereka fesyen terkenal Malaysia Hatta Dolmat berkata inovasi itu mungkin relevan bagi golongan yang mempunyai minat terhadap watak tersebut dan ingin menggembleng ciri-ciri berkenaan dalam rekaan pakaian demi kepuasan diri.
“Pada Hatta tidak salah pun (rekaan AI) Ultraman tersebut sebab dah terbukti sebelum ini ada peminat kartun anime, peminat fesyen berinspirasi pop culture ini menggabungkan elemen itu dalam rekaan baju raya sebab kita tidak boleh nak nafikan minat mereka dalam kartun-kartun seperti Ultraman atau Hello Kitty dan sebagainya.
“Identiti baju Melayu, dari segi sifat tradisional baju Melayu itu mungkin hilanglah sedikit,” katanya kepada Bernama, dan menambah berbaju Melayu namun lengkap bertopeng Ultraman adalah lebih ke arah keanak-anakan.
Pada masa sama, beliau juga percaya jika suntingan AI itu dijadikan realiti pada hari raya kelak, tidak mustahil akan tercetus polemik.
“Semestinya akan ada individu memberi pandangan, apatah lagi hal ini berkaitan dengan perayaan yang cukup dekat di hati (orang Melayu) … Ada yang akan melihatnya sebagai satu inovasi dalam fesyen moden, tetapi ada juga yang berasakan ia boleh menghilangkan keunikan dan keaslian baju Melayu sebagai pakaian tradisional,” katanya. – Bernama