Oleh Amri HTZ
Perhiasan pintu rumah bukan sahaja berfungsi untuk menyerikan ruangan, malahan mampu memberikan perasaan ‘dialu-alukan’ bagi para tetamu yang berkunjung.
Pelbagai cara boleh diambil untuk menghiasi pintu rumah seperti menempatkan kalungan bunga tiruan, plat nama, nombor rumah berhias dan sebagainya. Bagi mereka yang inginkan kelainan, ia memerlukan satu rekaan yang luar daripada kebiasaan untuk ditempatkan. Dalam hal ini, salah satu cara untuk membolehkan ia didapatkan ialah dengan merekanya sendiri.
Reka sendiri perhiasan?
Dalam projek DIY untuk rekaan perhiasan tanda pintu ini, beberapa barangan akan digunakan seperti kepingan papan 1 ½ inci dengan tebal 3/8 inci, papan lapis berketebalan ¼ inci, reben burlap, tali pintal, gunting, pisau utiliti, mesin pemotong kayu, berus cat, cat akrilik, hot glue atau gam silikon, perhiasan pilihan, kayu aiskrim (pilihan), manik kayu, mesin router dan gam kayu.
Mula projek pembuatan
Kayu-kayu yang tersedia pada awal langkah akan dipotong dengan ukuran diperlukan untuk membentuk bingkai rekaan. Tetapkan rip fence dengan jarak 1 ½ inci daripada bilah mesin pemotong bagi memudahkan awda mendapatkan ukuran kayu yang sama rata. Bagi awda yang menggunakan kayu yang lebih tebal daripada diperlukan, tetapkan jarak rip fence daripada bilah pemotong dengan ukuran 3/8 inci. Sorong perlahan kayu dengan bantuan push stick bagi tujuan keselamatan.
Manakala untuk panjang kayu bingkai, bahagian atas dan bawah perlu dipotong dengan ukuran 10 inci dan bahagian sisi kanan dan kiri pula 14 inci. Langkah pemotongan bahagian hujung kayu akan dilakukan dengan bantuan mitre gauge bagi memastikan material yang dipotong tidak bergerak sekali gus mendorong berlakunya kickback. Selain itu dengan cara sedemikian juga membolehkan awda memotong sudut hujung kayu berbentuk 45 darjah dengan cepat.
Sementara untuk bahagian belakang bingkai, papan lapis tersedia akan dipotong dengan ukuran 8 inci x 12 inci. Tandakan dengan garisan permukaan yang hendak dipotong sebagai panduan ketika memotongnya. Jika ukuran asal papan lapis terlalu besar untuk diletakkan pada permukaan mesin pemotong kayu meja, langkah ini akan dilakukan secara manual iaitu menggunakan gergaji. Memandangkan papan lapis tersebut tidak terlalu tebal, maka langkah pemotongan ini seharusnya mudah untuk dilakukan.
Kotak kayu kecil
Terdapat dua cara untuk mereka kotak kayu kecil yang akan dimuatkan pada permukaan depan rekaan. Pertama menggunakan lebihan papan lapis yang akan dipotongkan dengan ukuran 7 inci x 2 inci untuk dua keping (depan dan belakang kotak), dan 3 ½ inci x 2 inci (dua keping) bagi bahagian sisi kotak. Manakala untuk bahagian bawah akan dipotongkan dengan ukuran 7 inci x 3 ½ inci sekeping.
Sementara cara kedua ialah dengan menggunakan kayu aiskrim. Cara ini akan menghasilkan kotak seolah-olah bentuk palet epal yang setentunya akan menambahkan hasil akhir rekaan. Namun pada langkah ini, permukaan luarnya tidak perlu ditutupi dengan reben burlap seperti yang akan dilakukan pada kotak yang diperbuat daripada papan lapis. Ini kerana bagi mengekalkan keunikan kotak yang direka dengan cara sedemikian.
Mencantumkan kedua-dua jenis kotak di sini akan menggunakan hot glue memandangkan ia begitu nipis dan sukar dikekalkan jika menggunakan gam kayu. Selain hot glue, awda juga boleh menggunakan gam super untuk mempercepatkan proses dan lebih kukuh daripada hot glue.
Cantum bingkai rekaan
Sebelum membolehkan awda mencantumkan bingkai rekaan, terlebih dahulu permukaan belakang bahagian dalam bingkai akan direka dengan alur sebagai ruangan papan lapis ditempatkan. Alur yang direka ini akan membuatkan papan lapis yang ditempatkan nanti selaras dengan permukaan kayu bingkai. Dengan lebar ½ inci dan kedalaman ¼ inci, rekaan luar menggunakan mesin router dengan mata straight bit berhati-hati. Putaran mesin yang berkelajuan tinggi memberikan risiko berlakunya kickback jika tidak dikendalikan dengan betul. Oleh itu, tumpukan sepenuh perhatian ketika mengendalikan mesin tersebut.
Kayu bahagian bingkai rekaan yang telah dipotong sebelumnya akan dicantumkan menggunakan gam kayu. Mula-mula cantumkan bingkai rekaan sesuai dengan kedudukannya menggunakan gam kayu. Cantuman kemudiannya akan dikukuhkan menggunakan corrugated fastener bagi memudahkan langkah mengekalkannya. Ini diikuti dengan papan lapis untuk bahagian belakang yang juga perlu disapukan dengan gam kayu diikuti dengan paku kecil atau stapler.
Struktur rekaan yang baru dicantumkan akan dibiarkan mengering lebih kurang beberapa jam sebelum ia boleh dikendalikan. Meneruskan projek rekaan pada bingkai tersebut sebelum gam mengering akan mengakibatkan cantuman lemah sekali gus menjadikannya tidak stabil atau longgar.
Abjad daripada kayu
Bagi menambahkan hasil akhir rekaan, abjad daripada kayu akan dilekatkan pada permukaan rekaan. Menggunakan mesin scroll, lebihan papan lapis akan dipotong dengan bentuk abjad melaluinya. Untuk melakukannya dengan mudah, cetak abjad dan lekat pada permukaan papan. Dengan langkah tersebut, awda kini mempunyai panduan untuk memulakan proses pemotongan.
Masa untuk hiasi bingkai rekaan
Bingkai rekaan yang telah tersedia pada langkah seterusnya akan dihiasi dengan barangan yang direka sebelumnya. Abjad membentuk perkataan home akan dilekatkan dengan kedudukan berdiri diikuti dengan kotak yang terbuat daripada kayu pada bahagian bawah bingkai.
Kotak yang diperbuat daripada papan lapis akan dilekatkan dengan reben burlap pada bahagian luarnya sebagai perhiasan, sementara bahagian dalam pula akan diletakkan dengan blok styrofoam. Blok itu merupakan tapak untuk menempatkan bunga tiruan pilihan.
Untuk menggantungkannya, tali pintal yang dihiasi dengan manik kayu akan diikatkan pada bahagian belakang bingkai. Dalam hal ini, dua skru diperlukan pada bahagian belakang bingkai sebagai tempat untuk mengikat tali pintal.
Langkah terakhir adalah menggantungkan rekaan pada permukaan pintu yang dirasakan terlalu hambar dalam mengalu-alukan tetamu. Untuk itu, satu skru sebagai penggantung akan dimasukkan pada permukaan pintu lebih kurang separas muka bagi memudahkan ia diperhatikan. Dengan langkah ini, rekaan titik peluh sendiri setentunya menghasilkan manfaat bukan sahaja untuk mereka yang datang berkunjung, malahan diri sendiri.