Wednesday, April 16, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rekaan tilam lipat kanak-kanak jadi sumber pendapatan utama

    MELAKA – Tilam kanak-kanak boleh lipat yang dipertaruhkan dalam pertandingan reka cipta anjuran GiatMARA pada 2020 sehingga memberi kemenangan, kini menjadi sumber rezeki utama buat usahawan jahitan Nureisah Ahmad.

    Nureisah ketika ditemui Bernama di kilang jahitannya di Taman Puncak Bertam di sini berkata kemenangan pada pertandingan tersebut, membuka matanya untuk terus menjual produk itu pada skala lebih besar.

    Ibu kepada dua anak lelaki masing-masing berumur 13 dan tujuh tahun itu berkata kemenangan pada pertandingan reka cipta lima tahun lepas, membolehkannya mendapat geran bernilai RM20,000 dalam bentuk mesin sulaman, seterusnya membantu dalam perniagaan baharu yang diusahakan.

    Berkongsi lebih lanjut, Nureisah berkata semuanya bermula selepas perniagaan menjahit pakaian yang diusahakannya terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi mengawal COVID-19.

    “Saya memulakan perniagaan menjahit pelbagai jenis pakaian pada 2016 dengan mengambil tempahan secara pukal daripada beberapa pihak, seperti sekolah dan badan beruniform.

    Usahawan Nureisah Ahmad ketika ditemui secara eksklusif dengan Bernama di kilang jahit tilam lipat kanak-kanak di Taman Puncak Bertam. – Bernama
    Tuah menyebelahi Nureisah, apabila tilam kanak-kanak boleh lipat hasil ciptaannya menjadi punca utama rezeki buat beliau sekeluarga. – Bernama

    “Bagaimanapun, ketika PKP perniagaan merosot dengan teruk sehingga saya dan keluarga duduk berbincang sebelum keluar dengan idea untuk menghasilkan tilam boleh lipat itu secara stok tersedia untuk kegunaan anak damit dan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah.

    Nureisah, yang mengusahakan perniagaan bersama adiknya Nurhaliza, 28, berkata rezeki berpihak kepadanya, apabila tilam kanak-kanak boleh lipat mendapat permintaan tinggi daripada ibu bapa kerana ia mudah untuk dibawa ke mana-mana termasuk ke taska atau pusat asuhan.

    Menggunakan jenama Beekaboo, bekas pelajar GiatMARA itu berkata tilam boleh lipat setebal tiga inci didatangkan dalam beberapa set, antaranya set taska dan set baru lahir lengkap dengan bantal, selain pelanggan boleh menempah untuk tambahan selimut serta sulaman nama.

    “Perniagaan bermula dengan tilam set tempahan khas dahulu pada tahun 2020 dan mula fokus stok tersedia pada tahun 2022.

    “Memandangkan tilam berkenaan boleh dilipat menjadi kecil, ia sangat mudah untuk dikendalikan malah kanak-kanak sendiri boleh membawanya ketika ke pusat asuhan,” katanya.

    Lebih menarik, beliau berkata tilam yang dihasilkan boleh dicuci menggunakan mesin basuh dan pelanggan boleh memilih corak yang diingini dan set tilam bermula dengan harga serendah RM50 hingga RM99 mengikut saiz dan umur.

    Nureisah berkata kilangnya kini mampu menghasikan lebih 100 tilam sehari, dengan empat saiz berbeza mengikut umur anak damit serta kanak-kanak dan menggunakan platform e-dagang untuk tempahan serta jualan.

    Beliau berkata satu tilam lipat dapat dihasilkan dalam tempoh antara 30 ke 45 minit dan mendapat permintaan tinggi dari seluruh negara serta Singapura, kerana penggunaan bahan berkualiti tinggi antaranya kekabu.

    “Kami mempunyai faktor jualan unik yang kuat antaranya penghantaran cepat iaitu dalam masa sehari tilam akan dipos dan kita juga berjaya mencapai kadar perbualan yang tinggi dalam semua platform.

    “Banyak testimoni yang baik dan tentunya rekaan yang bergaya kerana boleh pakai dua bahagian ibarat beli dua tilam,” katanya sambil menambah setakat ini kira-kira 30,000 unit tilam lipat telah dijual.

    Beliau kini telah menggaji seramai 10 orang pekerja bagi menampung pengeluaran, sekali gus membuka peluang kepada masyarakat tempatan untuk mendapatkan pekerjaan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda