Shah Rukh Khan (SRK) telah menarik perhatian orang ramai dengan bakat dan karismanya. Daripada peminat sehingga selebriti, ramai yang menceritakan sisi positifnya termasuklah pelakon senior Rekha.
Memetik laporan Murai.My, Rekha yang terkenal dengan kecantikan dan keanggunannya, telah membongkar satu kisah yang agak mencuit hatinya mengenai SRK.
Sekitar tahun 2007, Rekha telah dijemput ke sebuah acara untuk menyampaikan anugerah kepada SRK. Dalam ucapannya, dia mendedahkan kenapa SRK digemari ramai.
“Kami dalam perjalanan ke sebuah acara menggunakan kapal terbang. Saya sangat letih dan hampir tertidur. Tetapi saya dikejutkan oleh suara yang berkata, “Puan Rekha, tolong bangun! Buka tingkap dan lihat pemandangan luar yang cantik, matahari dah terbenam.
Awda boleh tidur semula selepas itu”.”
Menyambung ceritanya, Rekha mengakui dia tidak melihat pemandangan luar kapal terbang itu tetapi dia terpesona dengan sebab lain.
“Saya tidak melihat matahari terbenam, tetapi menoleh perlahan-lahan dan melihatnya. Itulah SRK. Saya memandang matanya dan berfikir, “Dia adalah lelaki idaman saya”.”
Sebelum ini, Rekha juga pernah menggunakan ayat-ayat pujangga untuk menggambarkan perasaannya terhadap SRK. Dia berkata bagaimana dia tidak pernah melihat ‘jiwa’ tetapi merasakan jiwa yang sangat ‘suci’ dan ‘istimewa’ dalam hidupnya daripada SRK. – Agensi
