BANDAR SERI BEGAWAN, 2012 – Sejumlah kek cawan berjaya disusun di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) yang menurut penganjur adalah bagi rekod catatan ketiga terbanyak di dunia di belakang 21,000 di Afrika Selatan dan 20,000 di Singapura, bagi memintas catatan di kedudukan ketiga sebelum ini, 5,900 di Amerika Syarikat.
Kek cawan pelbagai warna itu disusun bagi memaparkan perkataan “Selamat Ulang Tahun Ke” dan Logo Rasmi Sambutan Penukaran Nama Bandar Brunei kepada Bandar Seri Begawan ke-42 Tahun, 2012, di atas dua platform berbentuk segi empat tepat yang setiap satunya dibentuk menggunakan empat meja besar yang digabungkan.
Susunan kek cawan terbanyak, terbesar dan terpanjang di negara ini berkenaan telah didedahkan kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduk Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin Pengarah Dato Haji Awang Othman (ketika itu).
Kek cawan yang disusun semasa “Hari Keluarga Ria Warga Bandar sempena Sambutan Penukaran Nama Bandar Brunei kepada Bandar Seri Begawan ke-42 Tahun, 2012 berkenaan dijual kepada orang ramai pada harga 50 sen setiap satu, dan kesemua hasil jualan akan disalurkan kepada badan-badan kebajikan di negara ini.
Namun sebelum ia dijual, susunan kek cawan berkenaan dirasmikan dengan acara menyanyikan lagu “Selamat Hari Jadi” buat lima orang yang lahir pada 4 Oktober 1970, dan kemudiannya setiap seorang daripada mereka masing-masing memakan sebiji kek cawan bersama-sama dengan Yang Berhormat Pehin Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Sebagai hadiah hari jadi mereka, setiap seorang daripada mereka masing-masing telah diberikan 50 biji kek cawan untuk dibawa pulang.
Jurucakap Jawatankuasa Penganjur, Adi Syohreni Abdul Hadi dalam temu bual dengan Media Permata menyatakan satu platform berukuran 40×30 kaki persegi digunakan untuk susunan kek cawan berkenaan.
Kek cawan yang disusun itu terdiri daripada kek cawan yang dihasilkan oleh pembuat kek cawan terpilih, sama ada yang disumbangkan oleh pihak swasta dan orang ramai, yang ingin menyaksikan susunan kek cawan terbesar, terpanjang dan terbanyak di negara ini berkenaan menjadi satu kenyataan, beritahunya.
Menurutnya, kesemua kek cawan itu dipamerkan selama lebih kurang dua jam sebelum sebahagian besarnya dijual kepada orang ramai, dengan hasil jualannya akan disalurkan kepada badan kebajikan di negara ini.
Pada kadar harga 50 sen bagi setiap sebiji kek cawan berkenaan, menurutnya harga itu merupakan yang terendah di pasaran keran harga pasaran bagi kek cawan berkenaan ialah $1.50 setiap sebiji.