Wednesday, January 1, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rekod suhu purata Jepun 2024 dijangka tertinggi

    TOKYO, 29 DIS – Suhu purata Jepun pada 2024 dijangka mencatat rekod tertinggi untuk tahun kedua berturut-turut, menurut laporan media tempatan yang dipetik Xinhua.  

    Sepanjang tempoh Januari hingga November, suhu purata Jepun adalah 1.64 darjah Celsius lebih tinggi berbanding purata tahunan bagi tempoh 30 tahun sehingga 2020.

    Ini merupakan tahap tertinggi sejak agensi kaji cuaca negara itu mula mengeluarkan data pada 1898, lapor Kyodo News berdasarkan angka awal yang dikeluarkan oleh Agensi Meteorologi Jepun (JMA).  

    “Suhu tahun ini boleh dikatakan luar biasa tinggi,” kata seorang pegawai JMA.  

    Menurut agensi itu, suhu tinggi berpunca daripada aliran udara panas yang dibawa oleh angin yang bergerak lebih jauh ke utara daripada biasa, selain kesan pemanasan global.  

    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, suhu di Jepun terus meningkat, dengan tempoh lima tahun dari 2019 hingga 2023 mendominasi senarai lima tahun paling panas, menurut laporan itu.  

    Suhu purata permukaan laut di sekitar Jepun juga 1.46 darjah Celsius lebih tinggi daripada purata tahunan setakat akhir November, melepasi rekod tertinggi yang dicatatkan pada 2023 sejak data tersedia pada 1908. – Bernama 

    Bandar Shinjuku, Jepun. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda