Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rekod tanpa kalah Arsenal berakhir

    NEWCASTLE, 5 NOV – Newcastle berjaya mengakhiri rekod tanpa kalah Arsenal pada musim Liga Perdana apabila VAR, yang penuh kontroversi, membenarkan jaringan Anthony Gordon untuk meraih kemenangan dramatik dengan keputusan 1-0 awal pagi tadi.

    Pasukan kendalian Mikel Arteta mengalami kekalahan pertama dalam 11 perlawanan liga dan pengurus Arsenal itu menganggap kekalahan tersebut sebagai ‘memalukan’.

    Dalam situasi yang dipertikaikan, Joelinton jelas menolak pemain pertahanan Arsenal, Gabriel, semasa mereka berentap untuk menerima hantaran Joe Willock. Bola tersebut bergerak kepada Gordon yang berjaya menjaringkan gol dari jarak dekat.

    Selain rayuan yang sia-sia atas kekasaran oleh Joelinton, Arsenal dengan marah mendakwa bola itu telah keluar sebelum hantaran lintang Willock.

    Ia adalah salah satu daripada beberapa kejadian yang membangkitkan kontroversi dalam perlawanan yang penuh dengan emosi di St James’ Park.

    Kai Havertz dari Arsenal dan Bruno Guimaraes dari Newcastle kedua-duanya bernasib baik kerana tidak dilayangkan kad merah pada separuh pertama perlawanan.

    Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memberikan komen yang tajam mengenai keputusan itu dengan berkata, “Keputusan ini sepatutnya tidak begitu. Saya berasa malu katas apa yang berlaku dan bagaimana gol ini diterima. Ini Liga Perdana, liga yang kita anggap sebagai yang terbaik di dunia. Saya sudah berada di negara ini selama 20 tahun, dan sekarang saya rasa malu. Ini memalukan. Terlalu banyak yang dipertaruhkan dalam situasi seperti ini.” – AFP

    Aksi pemain Newcastle dan Arsenal ketika berebut bola dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di St James’ Park, di Newcastle upon Tyne, England, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda