LOMBOK, Indonesia, 30 Julai – Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal telah menghadiri Persidangan Ulama Antarabangsa 2018 yang berlangsung di Mataram, Lombok, Indonesia bermula 26 Julai lalu hingga kelmarin.
Persidangan anjuran Wilayah Nusa Tenggara Barat, Pertubuhan Antarabangsa Alumni Universiti Al-Azhar Cawangan Indonesia dan Forum Alumni Timur Tengah itu membawa tema Wasathiyyatul Islam Menurut Perspektif Ahlussunnah Wal Jama’ah dan dihadiri ulama dari 22 buah negara termasuk ulama-ulama dari Universiti Al-Azhar Mesir, Sudan, Maghribi, Syria, Iraq, Yemen, Tunisia dan Malaysia.
Setelah bersidang selama dua hari, para peserta persidangan sepakat bahawa Ahlussunnah Wal Jama’ah adalah mereka yang mengikuti ajaran Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat Baginda, yang berpegang teguh pada Al-Quran dan Sunnah, iaitu para pengikut Asy’ariyyah-Maturidiyyah, para fuqaha, ahli hadis dan tasawwuf yang mengikuti Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad S.A.W.

Persidangan juga bersetuju bahawa aliran pemikiran, perkauman dan diskriminasi dalam bentuk apa pun yang bertentangan dengan wasathiyyah Islam harus ditentang dengan berbagai cara kerana ia berpotensi meruntuhkan keutuhan tanah air dan menjejaskan keharmonian sosial.
Selain itu, persidangan juga menekankan keperluan menyediakan program pendidikan yang dibangunkan atas dasar wasathiyyah Islam dan menolak kekerasan, dengan sasaran generasi muda yang akan menjadi harapan masa depan dalam usaha membangun dan melindungi mereka daripada pemikiran ekstrem yang bertentangan dengan wasathiyyah.
Persidangan telah dirasmikan oleh Gabenor Lombok, Dr Muhammad Zainul Majdi, manakala itu, majlis penutup dirasmikan oleh Menteri Pertahanan Indonesia, Tuan Yang Terutama Ryamizard Ryacudu.