Lebih sedekad bermastautin di Australia, Nur Fatima mengambil keputusan kembali ke tanah air demi menyahut cabaran menyertai Gegar Vaganza musim keenam (GV6) yang bakal bermula 13 Oktober ini.
Keputusan itu juga bermakna penyanyi yang popular dengan lagu Selembut Sutera itu terpaksa berpisah seketika dengan suami, selain meninggalkan tugasan sebagai guru sambilan prasekolah demi memburu kejayaan.
“Sebelum ini, saya pernah ditanya mengenai penyertaan dalam GV, tetapi ketika itu saya belum bersedia disebabkan komitmen dengan tugasan sedia ada. Saya bekerja lapan jam sehari dan sebagai guru sambilan, saya mengajar di beberapa sekolah mengikut giliran. Namun, setiap hujung minggu saya masih menyanyi di kafe.
“Apabila dipelawa menyertai pertandingan ini, selain mendapat dorongan suami, kenapa tidak saya ambil cabaran itu memandangkan pengikut di Instagram turut memberikan sokongan. Berat juga meninggalkan suami, namun rindu saya terubat kerana dia bakal menyusul pada minggu kedua pertandingan. Dia bagaimanapun, tidak lama di sini kerana perlu kembali menyambung tugas,” katanya yang kini menetap di Canberra.
Terdahulu, pemilik nama sebenar Nur Fatimah Abd Wahab, 37, itu menyambung pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Kejuruteraan Audio di Institute SEA, Sydney. Dia mengambil keputusan menetap di negara itu sebaik mendirikan rumah tangga dengan Mohd Jeffry Wain Wright, 50.
Sempat menghasilkan tiga album, termasuk Selembut Sutera yang diterbitkan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan pada 2000, dia juga aktif mencipta lagu untuk penyanyi lain. Selain Nur Fatima, GV6 turut membariskan 12 lagi peserta termasuk Wann, Sham Visa, Roy, Mazleela, Noorshila Amin, Feeza, Ameer Sofazr dan Naqiu Boboy.
Musim kali ini turut menampilkan duo, Kool dan peserta berkumpulan, One Nation Emcees, selain dua pesaing dari Singapura, Hady Mirza serta Jatt (Black Dog Bone). Masih mengekalkan pasangan Nabil Ahmad dan Jihan Muse sebagai hos, program itu menyaksikan Datuk Ramli MS kembali di kerusi juri tetap bersama penghibur berpengalaman Indonesia, Hetty Koes Endang. GV6 akan bersiaran selama lapan minggu secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor. – Agensi
