WASHINGTON, 11 Okt – Seorang lelaki Tennessee yang dijatuhkan hukuman mati kerana melakukan dua pembunuhan memenangi rayuannya daripada dihukum mati melalui suntikan racun pada saat akhir semalam, selepas mendesak supaya pihak berkuasa menggunakan kerusi elektrik terhadapnya.
Edmund Zagorski, 63, dijatuhkan hukuman mati pada tahun 1984 susulan mengelar leher dua lelaki yang mungkir janji untuk menjual dadah kepadanya.
Dia kemudian meminta supaya menjalani hukuman di kerusi elektrik tetapi pihak berkuasa penjara Tennessee menolaknya.
Peguam Zagorski kemudian melancarkan rayuan di mahkamah persekutuan bagi menuntut kerusi elektrik untuk digunakan ketika dia bakal menjalani hukuman hari ini di Nashville.
Mahkamah rayuan semalam kemudian menyatakan hukuman ke atasnya perlu ditangguhkan bagi membolehkan rayuan mengenai bentuk hukumannya dipertimbangkan.

Di Tennessee, mereka yang dijatuhkan hukuman mati sebelum tahun 1999 berhak memilih dua jenis pendekatan hukuman.
Bagaimanapun, mereka perlu membuat keputusan sekurang-kurangnya dua bulan sebelum hukuman dilaksanakan, menurut pihak berkuasa penjara.
Menurut salah seorang peguamnya, Kelley Henry, Zagorski terlambat membuat pilihannya kerana dia sedang menunggu hasil gerakan untuk menghalang penggunaan minuman yang dicampur tiga ubat-ubatan, termasuk sedatif midazolam yang kuat, dalam hukuman mati di Tennessee.
Mahkamah tertinggi negara hanya menolak tuntutan itu Isnin lalu, memaksa Zagorski untuk ‘memilih antara dua kaedah kematian yang tidak ganas,’ kata Henry.
“Protokol tiga dadah negeri itu setentunya adalah penyeksaan,” katanya. “Paru-paru Zagorski akan dipenuhi dengan cairan kerana lapisan itu dibakar oleh asid. Dia akan lumpuh, kemudian terbakar secara kimia dari dalam,” katanya sambil menambah prosedur itu akan menyebabkan kesakitan selama 10 hingga 18 minit.
Tennessee adalah salah satu daripada sembilan negeri di Amerika Syarikat yang masih menggunakan kerusi elektrik untuk melaksanakan hukuman mati. – AFP