NEW DELHI, 21 NOV – Reliance Industries India kelmarin mengumumkan bahawa syarikat itu telah menghentikan import minyak mentah Rusia ke loji penapisan berorientasikan eksportnya, ketika sekatan Barat semakin diperketat terhadap produk yang dihasilkan daripada minyak Rusia.
Hubungan New Delhi dengan sekutu Baratnya menjadi tegang susulan pembelian minyak Rusia pada harga diskaun sejak pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
Pada Ogos lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menaikkan tarif kepada 50 peratus ke atas kebanyakan import India, menuduh New Delhi membiayai dana perang Rusia.
Reliance Industries, sebuah syarikat milik persendirian dan pembeli utama minyak mentah Rusia di India, berkata ia telah ‘menghentikan import minyak mentah Rusia’ ke loji penapisan berorientasikan eksport di negeri Gujarat berkuat kuasa 20 November.
“Mulai 1 Disember, semua eksport produk dari loji penapisan di Zon Ekonomi Khas (SEZ) akan diperoleh daripada minyak mentah bukan Rusia,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan. “Peralihan ini telah diselesaikan lebih awal daripada jadual bagi memastikan pematuhan penuh terhadap sekatan import produk yang akan berkuat kuasa pada 21 Januari 2026.” – AFP


