Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Remaja 14 tahun maut akibat guguran udara di Gaza

    TEL AVIV, 10 OGOS – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di Semenanjung Gaza maut selepas dihempap bungkusan bantuan yang digugurkan dari udara ke wilayah itu, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan kelmarin, lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, kejadian berlaku berhampiran kawasan pelarian Nuseirat di tengah Gaza. Maklumat itu bagaimanapun tidak dapat disahkan secara bebas.

    Selepas berbulan-bulan penghantaran bantuan disekat, Israel sejak akhir bulan lepas membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan yang digugurkan melalui udara dalam jumlah terhad dan melalui darat pada skala yang lebih kecil ke Gaza.

    Pada Jumaat lalu, pegawai Palestin berkata enam orang, kebanyakannya kanak-kanak, cedera di Bandaraya Gaza apabila sebuah kotak bantuan yang jatuh terkena balkoni, menyebabkan struktur itu runtuh.

    Bantuan yang digugurkan melalui udara itu menjadi isu kontroversi, dengan pengkritik menyifatkannya tidak berkesan dan berbahaya. Menurut kumpulan bantuan, lebih banyak bekalan boleh dihantar dengan selamat menggunakan trak jika Israel membenarkannya.

    Namun, penghantaran menggunakan trak juga kurang diyakini keberkesanannya dengan banyak bekalan dirompak sama ada oleh orang awam mahupun kumpulan bersenjata sebelum sampai kepada mereka yang paling memerlukan.

    Menurut tentera Israel, kelmarin pesawat dari Jerman, Belanda, Greece, Itali, Emiriah Arab Bersatu dan Jordan menggugurkan 106 kotak bantuan di Gaza. – Bernama

    Gambar menunjukkan penduduk Palestin mengambil bantuan kemanusiaan yang digugurkan di Zawaida di tengah Semenanjung Gaza pada 31 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda