MOSCOW, 7 DIS – Seorang remaja Rusia hari ini telah menembak mati seorang rakan sekelas dan mencederakan lima yang lain sebelum membunuh dirinya di sebuah sekolah di Bryansk berhampiran sempadan Ukraine, kata penyiasat.
Insiden tembakan di sekolah agak jarang berlaku di Rusia, yang mempunyai undang-undang senjata api yang ketat, namun kejadian itu nampaknya semakin kerap berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Seorang budak perempuan berusia 14 tahun membawa selaras senapang angin ke sekolah, yang digunakannya untuk menembak rakan sekelasnya, menyebabkan dua maut, seorang daripadanya adalah penembak, manakala lima yang lain cedera,” kata Jawatankuasa Penyiasatan dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mendedahkan nama penembak, tetapi berkata mangsa merupakan rakan sekelas perempuan di sekolah menengah di pinggir bandar Bryansk. – AFP
