LONDON, 4 FEB – Seorang remaja berusia 15 tahun maut akibat ditikam kelmarin di sekolah menengah di utara England, kata pihak polis, kes pembunuhan terbaharu yang mencetuskan kebimbangan mengenai jenayah pembunuhan guna pisau di Britain.
Perdana Menteri Keir Starmer berkata dalam satu kenyataan bahawa sekolah dan keluarga mangsa “berdukacita atas kehilangan nyawa yang tidak sepatutnya terjadi dan seluruh negara turut merasai kesedihan bersama mereka.”
Starmer sebelum ini telah menggelar jenayah pisau sebagai ‘krisis nasional’ dan undang-undang lebih ketat mengenai senjata tajam telah berkuat kuasa sejak September tahun lalu.
Mangsa ditikam di kawasan Sekolah Menengah Katolik All Saints di Sheffield.
“Mangsa, seorang remaja lelaki, mengalami kecederaan parah dan walaupun usaha terbaik sudah dilakukan oleh perkhidmatan ambulans, malangnya dia meninggal dunia tidak lama selepas itu,” kata Timbalan Ketua Polis Tempatan, Lindsey Butterfield, dalam satu sidang media.
Beliau turut memaklumkan bahawa seorang remaja berusia 15 tahun telah ditahan atas dakwaan membunuh.
Bunga, lilin dan belon diletakkan di hadapan sekolah, yang ditutup sementara bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan. – AFP