Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Remaja alami lumpuh akibat tunduk terlalu lama

    BEIJING, 8 SEPT – Seorang remaja di China mengalami lumpuh akibat tabiat tunduk terlalu lama dan banyak menghabiskan masa menunduk melihat telefonnya.

    Menurut laporan Oddity Central, remaja berusia 19 tahun bernama Xiao Dong mengalami detik cemas dalam hidupnya apabila dia bangun daripada tidur tanpa rasa pada tubuhnya dan tidak mampu bergerak. Sebelum itu, penuntut di Universiti Quanzhou, wilayah Fujian, China itu mengongsikan bahawa dia me-ngalami kebas di leher, tangan dan kaki.

    Xiao terpaksa dibawa ke bilik kecemasan, di mana doktor menemui darah beku besar pada tulang belakang serviks di segmen C4-T1, yang menekan saraf tunjangnya dan menyebabkan tubuhnya dari bahagian dada ke bawah hampir lumpuh sepenuhnya.

    Doktor memberitahu bahawa tindakan menundukkan kepala terlalu lama dan berterusan telah menyebabkan saluran darah abnormal dalam saluran saraf tunjangnya pecah, lalu membentuk hematoma dan mencetuskan kelumpuhan akut.

    Xiao bernasib baik kerana doktor berjaya melakukan pembedahan kecemasan untuk membuang darah beku tersebut serta mencegah kelumpuhan kekal. Dia kini sedang mendapatkan semula kawalan ke atas anggota bawahnya, dan dijangka akan pulih sepenuhnya.

    Selain tabiatnya sering tunduk melihat telefonnya bermain permainan video dan melayari platform media sosial, Xiao juga mengongsikan pada musim panas lalu, dia bekerja mencuci piring dan mengelap meja. Semasa menjalankan tugasnya itu, kepalanya tertunduk selama berjam-jam, tekanan pada saluran darah berhampiran tulang belakangnya menjadi terlalu kuat. – Agensi

    Gambar Pexel
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda