NEW YORK, 13 JULAI – Seorang lelaki berusia 30 tahun dari Texas maut selepas menghadiri parti ‘COVID-19’ yang dianjurkan oleh seorang individu yang dijangkiti virus itu, kata seorang doktor, menekankan risiko yang timbul kepada orang muda.
Jane Appleby, ketua pegawai perubatan di Hospital Methodist di San Antonio, berkata lelaki itu menyangka virus merupakan perkara palsu, meskipun ia membunuh lebih daripada 135,000 orang di Amerika Syarikat (AS) setakat ini.
“Seseorang akan didiagnosis dengan penyakit itu, dan mereka menganjur parti untuk menjemput kawan mereka untuk melihat sama ada mereka boleh mengatasi penyakit itu,” kata Appleby dalam video yang disiarkan oleh media AS semalam.
“Lelaki itu menyangka penyakit virus adalah palsu. Dia fikir dia masih muda dan tidak akan terjejas oleh penyakit itu.”
Menurutnya, kebanyakan golongan muda yang dijangkiti COVID-19 tidak mengambil serius virus itu memandangkan mereka tidak menunjukkan simptom yang ketara.
Bagaimanapun katanya, ujian makmal dan paras oksigen sebaliknya menunjukkan keadaan kesihatan mereka sebenarnya amat merosot.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya golongan muda tidak mengambil mudah mengenai perkara itu. – AFP