Remaja antara ditahan cuba seludup rokok, madu

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB

TEMBURONG, 22 OGOS – Hasil rondaan rutin berterusan yang dijalankan oleh keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), telah berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup 50 karton rokok pelbagai jenama dan juga 21 botol madu yang tidak diisytiharkan, pada 20 Ogos lalu.

Semasa rondaan tersebut, dua orang lelaki warganegara tempatan, masing-masing berusia 26 dan 16 tahun, berjaya ditahan setelah pihak berkuasa berjaya menahan sebuah kenderaan yang berlegar dalam keadaan yang mencurigakan di kawasan Pekan Bangar.

Hasil daripada pemeriksaan awal ke atas kenderaan tersebut telah menemukan dua kotak bungkusan yang mencurigakan tersimpan di bahagian tempat duduk belakang penumpang.

Kedua-dua suspek telah dibawa ke Balai Polis Bangar berserta barang rampasan bagi menjalanisiasatan awal dan seterusnya diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan selanjutnya.

Dalam pada ini, PPDB memohon kepada orang awam agar lebih peka dan mempunyai rasa bertanggungjawab dalam sama-sama berusaha bagi memutuskan rangkaian-rangkaian penularan wabak COVID-19 ini dengan sebaiknya.

Antara barangan seludup yang berjaya dirampas oleh pihak berkuasa.
Kotak bungkusan yang ditemui di bahagian tempat duduk belakang penumpang kereta berkenaan.