Khamis, November 20, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Remaja Australia bawah 16 tahun dilarang guna Facebook, Instagram mulai 4 Dis

    SYDNEY, 19 NOV – Warga Australia yang berumur bawah 16 tahun akan dikeluarkan daripada Facebook dan Instagram mulai 4 Disember, menurut gergasi teknologi Meta hari ini, berikutan persiapan Canberra untuk menguatkuasakan undang-undang yang melarang remaja menggunakan media sosial.

    Mulai 10 Disember, Australia akan memaksa platform media sosial termasuk Facebook, Instagram dan TikTok untuk mengeluarkan pengguna di bawah umur 16 tahun atau berdepan denda tinggi.

    Meta memaklumkan ia akan mula menyingkirkan akaun remaja di platformnya sebelum larangan berkuat kuasa.

    “Mulai hari ini, Meta akan memberitahu pengguna Australia yang difahami berumur 13 hingga 15 tahun bahawa mereka akan kehilangan akses ke Instagram, Threads dan Facebook,” menurut kenyataan Meta.

    “Meta akan mula menyekat akaun baru bawah 16 tahun dan menamatkan akses sedia ada mulai 4 Disember, dengan sasaran mengeluarkan semua pengguna bawah 16 tahun sebelum 10 Disember.”

    Menurut angka kerajaan, terdapat kira-kira 350,000 pengguna Instagram berumur 13 hingga 15 tahun di Australia dan sekitar 150,000 akaun Facebook.

    Meta telah mula memberi amaran kepada pengguna yang terjejas bahawa mereka akan segera tidak dapat mengakses akaun mereka.

    Remaja akan dapat mengakses akaun mereka ‘seperti keadaan terakhir’ selepas mencapai 16 tahun, menurut Meta.

    Akaun yang ditanda secara silap boleh mengesahkan umur menggunakan video yang dirakam sendiri atau dengan menyediakan ID dikeluarkan kerajaan.

    Syarikat media sosial sebelum ini telah menyifatkan undang-undang tersebut sebagai tidak jelas, bermasalah dan dilaksanakan terlalu tergesa-gesa. Meta sekali lagi menyuarakan kebimbangannya hari ini.

    “Kami berkongsi matlamat Kerajaan Australia untuk mewujudkan pengalaman dalam talian yang selamat dan sesuai umur, tetapi memutuskan hubungan remaja dengan rakan dan komuniti bukanlah penyelesaian,” kata Meta. – AFP

    Gambar skrin log masuk untuk Facebook dan dasar Meta baharu di Sydney, Australia, hari ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda